Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Hang Tuah Jaya anjur solidariti buat Shamsul di mahkamah

PKR Cabang Hang Tuah Jaya mengambil inisiatif untuk bersolidariti bersama ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin yang akan berdepan pendakwaan rasuah di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Timbalan ketua cabangnya, Zamzizul Nordin berkata, himpunan itu dibuat bagi memberi sokongan moral kepada bekas setiausaha politik kanan perdana menteri itu.

"Ini inisiatif pihak kami untuk menyatakan solidariti dan memberi sokongan moral kepada Shamsul di mahkamah esok.

"Kita anggarkan 100 hingga 150 orang akan hadir selepas sebaran jemputan dibuat. Dari Melaka sekitar 10 buah kereta akan bertolak ke Kuala Lumpur seawal subuh esok," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan SPRM mengesahkan bahawa ahli perniagaan Albert Tei dan Shamsul akan didakwa di dua mahkamah berasingan atas tuduhan memberi dan menerima rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata Tei dan Shamsul masing-masing akan menghadapi lima pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

“(Bagi Tei), dia akan didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) kerana menawarkan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

“Manakala Shamsul pula akan didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) kerana menerima rasuah di mahkamah Kuala Lumpur esok (Khamis) dan satu pertuduhan yang sama di mahkamah Shah Alam pada hari berikutnya (Jumaat),” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Malaysiakini menerima satu jemputan yang disebarkan di kumpulan WhatsApp yang menyeru pemimpin dan penyokong PKR untuk hadir bersolidariti dan menyokong Shamsul.

Jemputan dan seruan himpunan disebarkan Zamziul dan ia dijadualnya bermula jam 8.30 pagi esok di pekarangan Mahkamah Jalan Duta.

"Semua pimpinan, anggota dan penyokong dijemput hadir bersama dalam himpunan solidariti bagi menyokong Datuk Seri Shamsul Iskandar.

"Mari kita hadir beramai-ramai sebagai tanda sokongan dan kebersamaan menolak tohmahan ini," katanya menerusi sebaran mesej jemputan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS