Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata kerusi Dun Lamag di Sabah yang kini kosong akan ditandingi oleh Bersatu jika PN membuat keputusan untuk bertanding.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PN Sabah akan menentukan sama ada akan meletakan calon atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan.
"Kita serah kepada PN Sabah buat keputusan sama ada nak letak calon atau sebaliknya. Sekiranya mahu bertanding, kerusi berkenaan adalah milik BERSATU.
"Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, BERSATU yang bertanding di kerusi berkenaan," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dia berkata demikian ketika ditemui wartawan pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Masyarakat India di Kota Bharu.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud.
Kerusi DUN Lamag kosong berikutan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin, awal pagi semalam.
Pengerusi BN Sabah itu meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada usia 66 tahun akibat komplikasi paru-paru, jantung dan buah pinggang.
Pada PRN lalu, Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Lamag yang mempunyai 13,859 pemilih berdaftar pada PRN kali ini.
