Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rasuah lembu: MP PN, ahli perniagaan didakwa Isnin - SPRM
Diterbitkan:  Dec 6, 2025 9:57 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Seorang Ahli Parlimen PN dan seorang ahli perniagaan bakal dihadapkan ke mahkamah pada Isnin ini berhubung dakwaan rasuah berkaitan projek ternakan lembu yang melibatkan kerajaan negeri Kedah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memaklumkan kedua-duanya akan dituduh di Mahkamah Shah Alam, Selangor.

"Ahli parlimen berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dengan satu pertuduhan, iaitu bersubahat menerima rasuah.

“Ahli perniagaan pula akan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dengan dua pertuduhan, iaitu meminta dan menerima rasuah," katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin (gambar atas) mengesahkan SPRM menahannya atas tujuan pertuduhan membabitkan projek ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.

Melalui hebahan di media sosial, wakil rakyat PN itu berkata dia akan dihadapkan ke mahkamah bersama suspek lain pada Isnin 8 Disember depan.

Tegas Azman, pertuduhan rasuah terhadapnya merupakan "pendakwaan terpilih" selepas membuat ulasan di media sosialnya berkenaan jawapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mengenai kes Shamsul Iskandar Mat Akin.

"Jadi saya melihat ini ada unsur-unsur pengaruh politik untuk mencemarkan imej ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional, khususnya sayalah," katanya.

SPRM Kedah menahan Azman pada petang kelmarin dilaporkan bagi tujuan pertuduhan melibatkan projek usaha sama ternakan lembu milik kerajaan Kedah itu.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber berkata siasatan dibuat sejak Februari melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek ternak lembu fidlot.

Sumber mendakwa suspek didakwa menyalahgunakan jawatan semasa menjadi exco pertanian negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS