Pihak pendakwaan hari ini memohon supaya prosiding menghina mahkamah dimulakan terhadap seorang wanita yang berdepan pertuduhan membuat penghantaran kandungan lucah dengan memuat naik gambar lucah di akaun X.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab membuat permohonan itu semasa sebutan kes Amira Nur Afiqah Agus Salim, 28, selaku Orang Kena Saman (OKS) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail.
“Pihak pendakwaan dimaklumkan pada 18 Nov lepas, OKS telah memuat naik satu kandungan di aplikasi X, yang secara jelasnya membincangkan berkenaan kes di mahkamah ini… merujuk kepada kandungan yang dimuat naik, OKS menyatakan dia telah didenda RM8,000 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana dia masih belum disabitkan atau dijatuhkan hukuman.
"OKS juga telah mengemukakan beberapa keping poster bagi tujuan mengumpul derma untuk membayar denda tersebut… oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya satu prosiding menghina mahkamah dimulakan terhadap OKS," katanya.
Beliau juga berkata pada 7 Feb 2023, mahkamah telah mengeluarkan perintah melarang OKS daripada membincangkan atau memuat naik di mana-mana platform media sosial mengenai kes yang dihadapinya sehingga ia diputuskan.
Terdahulu, peguam Jacenta James yang mewakili Amira memaklumkan mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada mewakili OKS, dan perkara itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Jan tahun depan untuk sebutan kes.
Amira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah dengan niat untuk mengganggu orang lain melalui akaun Twitter ‘@amiranafqh’ pada 7.27 malam 19 Sept 2021.
Hantaran itu kemudian dilihat di sebuah premis di Sri Tioman 2, Jalan Melati di Kuala Lumpur pada 7.58 malam tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
- Bernama
