Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew mempersoalkan keperluan satu lagi penyiasatan dibuka berhubung kehilangan suaminya, seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya bulan lalu.
Liew sebaliknya menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku yang sudah dikenal pasti, serta memberikan maklumat berkenaan keberadaan Koh.
Liew dan pasukan peguamnya menyampaikan perkara itu dalam pertemuan dengan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo di Putrajaya hari ini.
Peguam Liew, Gurdial Singh Nijar berkata perkara itu telah pun diselesaikan di tiga peringkat, iaitu Suhakam; pasukan petugas khas kerajaan; dan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Katanya, siasatan baru hanya akan melambatkan penyelesaian kes tersebut yang telah pun berlarutan selama lapan tahun.
Gurdial berkata Liew turut membangkitkan kepada Gobind bahawa jelas penculikan dibuat oleh pihak dalam kerajaan.
“Kerajaan perlu ambil tindakan terhadap mereka (pelaku) kerana mereka telah dikenal pasti secara jelas melakukannya.
“Jadi (kerajaan) perlu beri maklumat - di mana individu yang telah diculik ini? Di mana maklumat yang berkaitan dengannya,” katanya lagi.

Beberapa hari lalu, Liew menulis surat kepada Gobind bagi meminta sokongannya dan berkata sama seperti bapanya, mendiang Karpal Singh, Gobind juga seorang yang berpegang kepada ketelusan dan maruah manusia.
Ia susulan langkah Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat rayuan terhadap kepuutsan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari kepada keluarga Koh - bermula dari hari dia diculik pada 13 Februari 2017 - sehingga pastor itu ditemui semula.
Dalam surat itu, Liew antara lain membangkitkan tindakan AGC yang segera memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah, walaupun alasan penuh kedua-dua keputusan belum dikeluarkan.
Dia juga menyatakan kekesalannya kerana agensi tersebut tidak menzahirkan sebarang kebimbangan mengenai keseriusan keputusan mahkamah yang mengaitkan penglibatan polis.

Dia seterusnya memohon Gobind agar membantu keluarganya dalam usaha menuntut keadilan, dengan mengeluarkan kenyataan awam dan membangkitkan isu ini di Parlimen.
Seorang lagi peguam Liew, Jerald Gomez berkata Gobind memaklumkan akan membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet.
“Dia (Gobind) akan bincang dengan (menteri) lain dalam mesyuarat kabinet dan akan memberi makluman kepada kami,” kata seorang lagi peguam Liew, Jerald Gomez.
Ditanya jika pertemuan hari ini memberi harapan kepada mereka, Liew dan peguamnya berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.
“Kita perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku,” katanya.
