Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | ‘Kebangkitan semula’ DAP di tengah kemerosotan politik

Pemimpin DAP yang terlena lebih tiga tahun, akhirnya menyedari bahawa parti itu ditundukkan oleh kuasa politik lain yang bersekutu dengan gabungan pimpinan PH.

Pilihan raya negeri Sabah yang menyaksikan DAP tewas di lapan kerusi yang ditandingi membuka mata parti itu.

Sama ada kebangkitan semula DAP sekarang dapat mengubah semula nasib politiknya, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga Semenanjung, masih belum dapat dilihat.

Apa yang paling tidak boleh diterima bukanlah kekalahan itu, tetapi pengabaian penyokong tradisinya, iaitu kaum Cina. Tsunami Cina yang menentang DAP mungkin mempunyai kesan geografi yang meluas.

Kejutan kekalahan teruk DAP di Sabah menyebabkan beberapa pemimpinnya menggesa kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi.

Gabungan pimpinan PH mengambil alih kuasa pada tahun 2022 dengan janji reformasi besar dan menyeluruh, iaitu mantera Anwar.

Namun, sebaik sahaja gabungan itu berkuasa dan selepas lebih tiga tahun memerintah, terbukti agenda reformasi diketepi dan dilupakan. Keperluan untuk kekal berkuasa dan memanjangkan tempoh pemerintahan menjadi satu-satunya perkara yang mendesak bagi gabungan pemerintah.

Kekalahan teruk DAP memaksa beberapa pemimpinnya menggesa Anwar untuk melaksanakan reformasi. Janji Setiausaha Agung parti, Anthony Loke mengenai reformasi untuk mengelakkan ketidakpopularan DAP yang semakin meningkat tidak diendahkan oleh Anwar.

Anwar yang menundukkan DAP sama sekali tidak mengendahkan rungutan yang disuarakan oleh pemimpin parti itu.

Sementara itu, beberapa pemimpin India DAP, yang sedar tentang rasa tidak puas hati kaum India yang semakin meningkat terhadap gabungan pemerintah dan sekutunya seperti DAP, mula bersuara bagi pihak komuniti itu.

Seorang pemimpin berarak bersama Indira Gandhi untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara Khalid Ismail, tetapi gagal.

Seorang lagi menteri kabinet DAP bercakap tentang pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang oleh polis terhadap kaum India.

Bekerja secara bermusim

Seorang anggota parlimen di Pulau Pinang, yang tidak pernah mengambil berat tentang masalah komuniti India, menyeru agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) digantung sementara sehingga pindaan diluluskan di Parlimen.

Tidak lama kemudian, jelas bahawa dia tidak bercakap bagi pihak komuniti India, tetapi mewakili anak guamnya, iaitu ahli keluarga mereka yang ditahan Sosma.

Dalam erti kata lain, dia berusaha untuk mewakili klien yang membayar yuran guaman, dan bukannya benar-benar mengambil kes penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya bawah Sosma yang digeruni.

Terdapat perasaan dalam kalangan beberapa pemimpin DAP bahawa dengan menyentuh beberapa perkara berkaitan masyarakat, terutamanya golongan bawahan, mungkin dapat menarik hati rakyat kepada DAP,

Tidak disedari oleh pemimpin ini dan yang lain, bekerja secara bermusim bukanlah cara yang berkesan untuk menghidupkan semula DAP.

Pada dasarnya, DAP adalah mangsa perubahan generasi. Apa yang menarik kepada generasi terdahulu ketika DAP menjadi pembangkang mungkin berbeza dengan tarikan kepada generasi kini, terutamanya apabila DAP berkuasa.

Pemimpin parti yang terlalu asyik dengan kuasa, jawatan dan habuan mungkin tidak berada dalam keadaan politik, sosial dan budaya yang sama seperti tahun-tahun popularitinya dahulu.

MCA, MIC, Gerakan dan Umno mengambil masa beberapa dekad untuk menyaksikan kemerosotan politiknya. Logik sejarah akan sama untuk DAP.

Memegang kuasa adalah mempesonakan, sekali gus berbahaya. Semakin lama DAP kekal berkuasa, semakin cepat parti itu jatuh tak bangun-bangun.

Dikatakan bahawa lilin menyala paling terang sebelum ia pudar dan padam. Analogi ini sesuai dengan kehancuran parti politik seperti MCA, MIC, Umno dan DAP.


P RAMASAMY ialah pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) dan bekas pemimpin DAP yang keluar parti.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS