Pertubuhan Pekerja Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan bahawa PPIM telah berkempen untuk mengalahkan kumpulan Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud dalam pemilihan jawatan pucuk pimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"Dakwaan bahawa kami membentuk satu kumpulan di kalangan pekerja Islam di dalam gabungan MTUC untuk memastikan kekalahan Syed Shahir adalah tidak benar," kata Presiden PPIM, Jaafar Majid.

"Mengapa mereka mahu mempertikaikan PPIM? Ini tuduhan yang tidak adil," kata beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Pekerja Pekerja Telekom (NUTE) ketika dihubungi hari ini.

Kumpulan yang menentang Syed Shahir dalam pemilihan kali ini diterajui oleh Mohd Presiden NUTE, Mohd Shafie BP Mammal yang bekerjasama dengan Setiausaha Agung MTUC, G Rajasekaran.

Sebaliknya, tegas Jaafar, PPIM yang baru ditubuhkan kira-kira lapan bulan lalu, tidak mahu bersaing dengan mana-mana pihak termasuk MTUC.

Jaafar berkata, PPIM mahu memberi tumpuan yang lebih kepada usaha membela pekerja Islam khususnya yang tidak menjadi ahli kesatuan sekerja.

Jaafar berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa PPIM ditubuhkan untuk mengenepikan Syed Shahir dari menerajui MTUC.

'Faktor utama'

Menurut beberapa perwakilan dalam kongres kali ini, penubuhan PPIM menjadi faktor utama kumpulan Syed Shahir kalah dalam pemilihan jawatan kali ini.

Jaafar berkata, PPIM kini mempunyai 100,000 ahli di seluruh negara termasuk pekerja Penerbangan Malaysia (MAS), Proton dan Telekom Malaysia Berhad.

Dalam pemilihan tiga tahun sekali itu, Syed Shahir berjaya mengekalkan jawatan presiden MTUC untuk tempoh sepenggal lagi iaitu selama tiga tahun.

Beliau mendapat 278 undi untuk menewaskan Mohd Shafie dengan majoriti 43 undi.

Mohd Shafie, yang sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC, mendapat 235 undi.

Namun begitu, sebahagian besar jawatan penting MTUC kali ini dimenangi oleh calon-calon dari kumpulan Mohd Shafie yang turut bergabung dengan Setiausaha Agung MUTC, G Rajasekaran.

Rajasekaran pula berjaya mengekalkan jawatan setiausaha agung dengan majoriti tipis empat undi sahaja, untuk menewaskan pencabarnya Abdullah Sani Abdul Hamid.

'Pendekatan keras'

Rajasekaran mendapat 259 undi manakala Abdullah yang sebelum ini merupakan naib presiden sektor swasta mendapat 255 undi.

Jaafar berkata, ramai orang Syed Shahir kalah kerana perwakilan tidak gembira dengan pendekatan keras yang diambil oleh pucuk pimpinan MTUC dalam menangani isu pekerja.

Katanya, pendekatan yang diamalkan sekarang tidak memberi sebarang hasil kepada Syed Shahir dan ahli MTUC sendiri.

"Sebagai sebuah kesatuan sekerja, MTUC perlu mengamalkan pendirian berkecuali dan bekerjasama dengan semua pihak yang boleh membantu golongan pekerja.

"Sebaliknya dalam kepimpinan Syed Shahir, kerajaan tidak mahu bertemu dan berunding untuk menyelesaikan isu gaji minima.

"Jika keadaannya sudah menjadi begini, kita boleh bayangkan sendiri adakah pendekatan sekarang akan berjaya atau tidak?," katanya