Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemohon skim rumah Pahang perlu tunggu 42 tahun'
Diterbitkan:  Dec 9, 2025 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

DUN PAHANG |  Pemohon skim perumahan yang disediakan kerajaan Pahang dikatakan perlu menunggu giliran sehingga 42 tahun sebelum menerima kediaman mereka idam.

Perkara itu dimaklumkan Adun Kuala Sentul, Jasri Jamaludin, ketika berucap membahaskan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang, di Kuantan, hari ini.

"Kiraan tempoh menunggu ini merujuk kepada jumlah permohonan direkodkan dalam laman web e-perumahan Pahang sehingga Oktober lalu.

"Dalam laman web itu, terdapat 112,391 permohonan yang sedang menunggu giliran mereka.

"Berdasarkan analisis sektor rumah mampu milik Pahang, jika 2,650 unit daripada pelbagai projek perumahan di negeri ini dapat disiapkan, maknanya itulah tempoh menunggu dengan mengambil kira jumlah permohonan sedia ada," katanya.

Antara projek perumahan dan skim perumahan ditawarkan kerajaan Pahang kepada rakyat negeri tersebut ialah PR1MA Pahang, perumahan awam kos rendah, Rumah Makmur dan Rumah Mesra Pahang.

Jasri yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu Pahang bagaimanapun memaklumkan, tempoh menunggu itu boleh dikurangkan kepada 15 hingga 23 tahun jika projek dikendalikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) disiapkan sehingga 7,000 unit setahun.

"Itu belum dikira dengan projek sakit atau terbengkalai disebabkan masalah kontraktor dilantik.

"Jadi, saya harap pihak kerajaan negeri boleh mendedahkan berapa banyak projek perumahan di bawah LPHP yang bermasalah dan apakah tindakan sudah diambil kerajaan Pahang bagi menangani perkara ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS