Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Presiden PH mahu reformasi institusi diutamakan

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan agar beberapa perkara berkaitan reformasi institusi diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat.

Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mendalami dan meneliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Pada PRN Sabah ke-17 yang berlangsung 29 Nov lepas, calon PH Datuk Jamawi Ja'afar berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dengan majoriti 525 undi setelah memperoleh 5,064 undi, mengalahkan tujuh calon lain.

Selain itu, Fahmi berkata Anwar dan ahli-ahli Majlis Presiden turut membincangkan isu berkait urus tadbir kerajaan dan perkembangan ekonomi rakyat.

"Turut dibincangkan ikhtiar pelaksanaan manifesto serta reformasi institusi sepanjang tiga tahun mentadbir negara," katanya dalam kenyataan malam ini.

Fahmi berkata mesyuarat turut memutuskan satu Konvensyen PH akan diadakan pada suku pertama 2026 bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta hala tuju negara bagi tempoh dua tahun akan datang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS