Selangor bersedia menjalin kerjasama dengan atlet profesional Muay Thai negara Johan Ghazali yang lebih dikenali dengan Jojo, bagi memperkukuh pembangunan sukan tersebut di peringkat negeri.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata pertemuan dengan atlet muda berusia sembilan belas tahun itu semalam membuka ruang kepada perbincangan awal mengenai cadangan naik taraf ekosistem latihan Muay Thai.
“Beliau (Jojo) menyatakan hasrat dan komitmen untuk berperanan lebih aktif dalam pembangunan sukan Muay Thai dalam skala lebih besar iaitu merangkumi negeri termasuk masa depan cerah negara.
“Jojo turut berkongsi pengalaman beliau menjalani latihan di Bangkok, Thailand serta mengemukakan beberapa cadangan yang beliau percaya mampu memacu perkembangan Muay Thai di Selangor,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, Mohd Najwan menyempurnakan Majlis Penutup Program Usahawan Siswazah (GROW) dan Lanjutan (GROW PLUS) anjuran PKNS sebelum menyampaikan sijil dan trofi kepada 60 graduan yang telah menjalani lebih 20 modul perniagaan sejak Mac hingga November lepas, sekali gus mencatat jualan kumulatif berjumlah hampir RM106 juta.

Mohd Najwan berkata Jojo kini menjalani latihan intensif sepenuh masa di Bangkok berikutan kekurangan fasiliti, kepakaran jurulatih dan ruang pembangunan sukan tersebut di seluruh Malaysia.
Beliau berkata Thailand menjadi pilihan utama Jojo kerana sokongan terhadap pembangunan Muay Thai di dalam negara masih belum mencapai tahap optimum.
“Beliau membangkitkan keperluan meneliti penubuhan sebuah hab atau pusat latihan khusus untuk atlet Muay Thai di Selangor.
“Menurut Jojo ramai atlet berpotensi ketika ini berlatih di kelab kecil atau gim komuniti dan belum mempunyai akses kepada kemudahan latihan berskala besar,” katanya.
Mohd Najwan berkata Jojo turut menawarkan diri sebagai jurucakap atlet Muay Thai kerana pengaruhnya dalam kalangan belia semakin meningkat.
Menurut Mohd Najwan pihaknya menyambut baik tawaran itu kerana peranan atlet seperti Jojo mampu memperkukuh usaha memperluas pembangunan sukan tersebut di peringkat akar umbi.
“Saya memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan sinergi dan bentuk kerjasama yang boleh diteroka bersama beliau.
“Setakat ini belum ada sasaran masa kerana pertemuan tersebut merupakan sesi awal namun tindakan susulan akan digerakkan tahun depan," katanya.
Beliau berkata sukan Muay Thai kini mendapat sambutan baik dan mampu membentuk disiplin serta jati diri atlet sekiranya dibangunkan melalui pendekatan profesional.
Petang semalam, Jojo ditemani ibu bapanya mengadakan kunjungan ke pejabat Mohd Najwan bagi mengadakan perbincangan secara bersemuka mengenai hasrat merancakkan sukan mempertahankan diri itu di Malaysia termasuk Selangor.
- Bernama
