Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunku Ismail perkenal mata wang kripto RMJDT
Diterbitkan:  Dec 9, 2025 10:50 PM
Dikemaskini: 2:50 PM

Bullish Aim Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dipengerusikan dan dimiliki oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melancarkan secara rasmi RMJDT, sebuah stablecoin yang disokong ringgit di Zetrix, rangkaian blockchain yang menyokong Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI)

Dalam satu kenyataan, Tunku Ismail bertitah bahawa baginda melihat penubuhan perbendaharaan token Zetrix sebagai keperluan strategik untuk menyokong kestabilan operasi dan untuk memperdalam penjajaran dengan blockchain kebangsaan.

Untuk rekod, stablecoin ialah satu bentuk mata wang kripto yang direka untuk mengekalkan nilai yang stabil, yang sering disandarkan kepada mata wang fiat (wang yang nilainya tidak disandarkan kepada komoditi fizikal).

RMJDT akan dikeluarkan di Zetrix, sebuah blockchain yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia Zetrix AI Bhd – dahulunya dikenali sebagai MYEG Services Bhd.

Dalam pemfailannya di Bursa Malaysia hari ini, Zetrix berkata RMJDT dilancarkan di bawah rangka kerja yang dikawal selia dan direka untuk mengukuhkan penggunaan ringgit Malaysia di peringkat antarabangsa dalam penyelesaian perdagangan rentas sempadan.

"Ia juga akan bertindak sebagai pemangkin untuk menarik peningkatan pelaburan langsung asing ke Malaysia.

"Inisiatif ini sejajar dengan perkembangan global dalam pengurusan aset dan secara langsung menyokong Dasar Aset Digital Nasional Malaysia," kata Zetrix.

Bersempena dengan pelancarannya, Zetrix berkata Bullish Aim juga akan menubuhkan Syarikat Perbendaharaan Aset Digital (Datco) - dengan peruntukan perbendaharaan awal sebanyak RM500 juta dalam token Zetrix, dengan rancangan untuk meningkat kepada RM1 bilion.

"Model perbendaharaan ini mencontohi amalan global seperti MicroStrategy dan Bitmine Immersion dan ia akan memainkan peranan penting dalam memastikan yuran rangkaian stabil bagi transaksi RMJDT," katanya.

Di samping itu, Datco akan mempertaruhkan token Zetrix untuk menyokong sehingga 10 peratus nod pengesahan dalam MBI, memperkukuh daya tahan Web3 negara jangka panjang sambil meningkatkan keselamatan dan kecekapan ekosistem rantaian blok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS