Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Adam Radlan akan bagi keterangan kes projek lebuh raya MEX II
Diterbitkan:  Dec 10, 2025 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad akan tampil memberikan keterangan berkaitan siasatan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya (MEX II) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Adam Radlan yang dipercayai berada di United Kingdom, telah memberi jaminan untuk kembali dan memberi kerjasama penuh kepada agensi itu dalam siasatan kes tersebut.

"Sebelum ini Adam Radlan tidak ada dalam negara, dan kita perlukan bantuan beliau… jadi SPRM sudah berhubung dengan beliau baru-baru ini, dan dijangka pulang ke Malaysia bulan ini.

“Peguamnya, Tan Sri Shafie Abdullah, juga telah menghantar surat kepada kami memberi jaminan berkaitan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis SPRM-UiTM Inspirasi 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, di Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Azam yang juga Profesor Adjung UiTM menyampaikan ucaptama bertajuk “Integriti Teras Kepimpinan, Amanah Asas Kejayaan”, yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang mengesan Adam Radlan dengan alamat terakhir di A16-2 Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan MEX II ke KLIA bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.

Beliau sebelum ini turut berdepan 12 pertuduhan, lima bagi kesalahan rasuah berkait projek Jana Wibawa dan tujuh lagi bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah AMLA, namun dibebaskan oleh mahkamah selepas SPRM bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM4.1 juta kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS