Kerajaan Perlis akan memberikan rebat untuk penggunaan 10,000 liter air bagi bil Dis ini kepada semua pengguna domestik di negeri itu sebagai usaha meringankan beban menghadapi pascabanjir.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata ia merupakan “hadiah” kepada rakyat negeri itu yang berada dalam proses pemulihan pada peringkat isi rumah berikutan banyak kawasan terjejas dengan masalah tekanan air rendah, selain kerosakan infrastruktur berkaitan susulan banjir pada penghujung bulan lalu.
“Usaha ini bagi membantu mereka membersihkan rumah, mencuci semula barang-barang serta menangani masalah tekanan air yang rendah,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Seri Putra di Kangar hari ini.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata kerja pembaikan menyeluruh terhadap infrastruktur bekalan air yang terjejas akibat banjir berkenaan telah dilakukan, termasuk membawa masuk mekanik dari luar bagi menyegerakan proses pemulihan.
“Namun beberapa kawasan seperti di Sungai Chuchuh (Padang Besar) masih mengalami tekanan rendah.
“Insya-Allah SAP (Syarikat Air Perlis) akan dapat selesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
- Bernama
