Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UEC: Janganlah kerajaan dipaksa, kata Mohamad
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 7:50 AM
Dikemaskini: 11:50 PM

Mohamad Hasan berkata, kerajaan mengizinkan keberadaan sistem pendidikan yang menghasilkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai meraikan kepelbagaian dalam negara, serta kepentingan kaum seawal 1975.

Timbalan Presiden Umno itu menambah, pelaksanaan itu tidak menghadapi sebarang masalah pun.

Apa yang menjadi isu, katanya, ialah pengiktirafan terhadap sijil tersebut.

“Kerajaan tidak ada masalah mengiktiraf (UEC) jika ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal dengan menepati aspirasi nasional.

“Selagi ia tidak menepati ciri tersebut, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.

Mohamad yang juga Menteri Luar menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang didiami pelbagai kaum, tidak mudah untuknya mengukuhkan perpaduan nasional.

Kerana itu, katanya lagi, kerajaan percaya satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan serta kurikulum yang direka bersumberkan kearifan tempatan, dan diimbangi dengan piawaian antarabangsa.

Menurut Mohamad lagi, kerajaan melaksanakan dasar tersebut dengan mengambil kira kedudukan pendidikan agar ia tidak tersasar daripada amalan terbaik antarabangsa.

“Pendidikan janganlah kita politikkan.

“Ia adalah satu-satunya arena untuk anak-anak kita daripada pelbagai bangsa belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah,” katanya.

Pilihan tanpa halangan

Mohamad berkata demikian ketika polemik mengenai pengiktirafan UEC muncul dan hangat kembali dengan DAP membangkitkannya selepas mencatat prestasi buruk dalam PRN Sabah.

UEC ialah peperiksaan kendalian oleh sekolah menengah persendirian Cina yang di dianjurkan oleh pertubuhan Dong Zong.

Ia bukanlah terletak di bawah sistem sekolah kerajaan, namun digunakan sebagai standard akademik dalam aliran pendidikan persendirian Cina.

Kelulusan sijil itu digunakan untuk memasuki universiti dan kolej swasta di Malaysia, selain pelbagai universiti luar negara.

Sesetengah syarikat swasta juga menerima UEC sebagai kelayakan untuk seseorang memohon pekerjaan.


Baca Asal usul Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)


Menurut Mohamad dengan adanya UEC, rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem yang lain tanpa sebarang halangan.

“Tetapi janganlah kerajaan dipaksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan untuk tujuan kemasukan ke universiti pula, ia tidak menjadi masalah kerana ia diterima di kebanyakan universiti di Malaysia serta di luar negara.

“Selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan, dan tidak perlu untuk diiktiraf selayaknya,” kata Mohamad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS