Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UEC: Keputusan mesti berpaksi perlembagaan, bukan tekanan
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 10:34 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan sebarang cadangan atau keputusan berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menterinya Zambry Abd Kadir berkata isu itu tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

“Pendirian kerajaan Madani kekal konsisten bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi.

“Prinsip ini terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Pada masa yang sama, Zambry berkata KPT bersetuju dengan penegasan perdana menteri bahawa semua aliran pendidikan sama ada Cina, Tamil, Arab, Inggeris mahupun sekolah antarabangsa, wajib mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu.

Menurut Zambry perkara itu selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional dalam pembinaan jati diri dan perpaduan negara.

Tambahnya di peringkat KPT, kementerian akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

“Penekanan akan terus diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras, teknologi dan ilmu,” katanya.

Pada masa yang sama, Zambry berkata KPT turut memperkasa bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa suku kaum bagi melahirkan bakat nasional yang multilingualisme, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan serta mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS