Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
30 rumah kampung air musnah kebakaran di Tawau
Diterbitkan:  Dec 14, 2025 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Sebanyak 30 buah rumah atas air separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Jade 4, Kampung Sri Aman, Jalan Apas, di Tawau, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.23 malam dan menggerakkan 17 anggota ke lokasi kejadian, kira-kira tujuh kilometer dari balai, sebelum tiba 10 minit kemudian.

“Bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi, pasukan bomba turut menggunakan pam angkut serta sistem relay air daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman turut dibantu enam anggota masing-masing dari BBP Kunak dan Bomba Komuniti Kampung Titingan, dengan pemadaman dijalankan menggunakan tiga kaedah termasuk pancutan air dari pili bomba serta sumber air terbuka dari laut.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak serta menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah sebelum operasi ditamatkan pada 3.10 pagi.

Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS