Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan anak-anak susulan kes seorang wanita di Terengganu yang didakwa mempunyai dua suami.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata dia akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara itu dengan segera bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan, khususnya bagi memastikan kebajikan anak-anak yang terlibat terus terpelihara.
Nancy berkata kes berkenaan kini sedang ditangani oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu dan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri berkenaan.
“Setakat ini, memandangkan saya baru tiba malam tadi dari Turkmenistan, saya masih belum menerima maklumat yang terperinci,” katanya selepas Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Sumbangan Back to School Sesi Persekolahan 2026 di Kuching hari ini.
Nancy berkata pihak kementerian akan meneliti perkara itu sebaik menerima laporan lengkap bagi menentukan langkah yang boleh diambil untuk membantu anak-anak yang terlibat.
“Hal-hal berkaitan agama dan perundangan akan diserahkan kepada kementerian serta agensi berkaitan selaras dengan bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Terdahulu, media di Kelantan melaporkan seorang wanita membongkarkan perbuatan kakak iparnya yang didakwa berkahwin lagi di sempadan Thailand pada November lepas, walaupun masih sah bergelar seorang isteri.
Wanita berkenaan mendakwa abang kandungnya ditipu apabila mendapati isteri abangnya itu berkahwin dengan seorang lagi lelaki lebih setahun lepas.
-Bernama
