Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu pucuk pimpinan parti Gerakan memberi penjelasan terhadap kenyataan berunsur perkauman yang dikeluarkan oleh Naib Ketua Pemuda Gerakan S. Paranjothy semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pihaknya akan membuat sesuatu keputusan mengenai perhubungan dengan parti komponen itu sekiranya penjelasan parti Gerakan tidak memuaskan.

Pemangku Presiden Gerakan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (kiri akan mengadakan sidang akhbar pagi esok berhubung perkara tersebut.

Hishammuddin berkata demikian apabila mengulas kenyataan Paranjothy bahawa beliau tidak puashati terhadap Umno dan bagaimana kaum India dilayan kurang adil, demikian menurut Bernama.

Paranjothy (kanan) juga mendakwa pemimpin Umno gemar mensasarkan parti komponen BN serta menjadikannya alasan atau batu loncatan untuk mengekalkan populariti di kalangan masyarakat Melayu.

Dalam kenyataan empat muka surat semalam, beliau juga mendakwa Umno mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat mereka dalam usaha untuk meningkatkan karier politik mereka.

http://www.malaysiakini.com/news/76304

Perlu penjelasan

Paranjothy turut menyentuh kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Ali Rustam yang menurutnya telah menghina Parti Progresif Rakyat (PPP), tindakan Hishammuddin menghunus keris di perhimpunan agung Umno serta kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bahawa jika Umno lemah kaum lain akan mengambil untuk kepentingan mereka.

Beliau turut mengkritik kerajaan kerana "meminggir, menindas dan tidak memperdulikan" masyarakat India sehingga menjadikan mereka 'rakyat kelas empat'.

Hishammuddin (kiri) yang kesal dengan kenyataan itu berkata sebagai anggota BN, semua anggota seharusnya faham bagaimana dalam tempoh 50 tahun ini Malaysia membangun dengan aman dan semua kaum dapat berkerjasama untuk memajukan negara.

Hishammuddin berkata demikian apabila ditanya pemberita selepas merasmikan majlis korban perdana, di Machang, Kelantan hari ini.

"Pucuk pimpinan BN melihat perkara ini sebagai serius," katanya.

Beliau berpendapat semua pihak memerlukan penjelasan yang terperinci berhubung perkara itu dan ia perlu dijernihkan di semua peringkat termasuk di peringkat akar umbi.