Pemuda Gerakan 'terperanjat' dengan kenyataan Paranjothy
Pemuda Gerakan "terperanjat" dengan kenyataan keras Naib Ketuanya, S Paranjothy semalam yang menuduh Umno mengapi-apikan sentiman perkauman bagi mengekalkan populariti parti itu di kalangan masyarakat Melayu.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin dan ahli jawatankuasa pusatnya, Kohilan Pillay hari ini.
Dalam kenyataannya semalam, Paranjothy turut mengkritik kerajaan kerana "meminggir, menindas dan tidak memperdulikan" masyarakat India sehingga menjadikan mereka 'rakyat kelas empat'.
Pemuda Gerakan "terperanjat" dengan kenyataan keras Naib Ketuanya, S Paranjothy semalam yang menuduh Umno mengapi-apikan sentiman perkauman bagi mengekalkan populariti parti itu di kalangan masyarakat Melayu.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin dan ahli jawatankuasa pusatnya, Kohilan Pillay hari ini.
Dalam kenyataannya semalam, Paranjothy (kanan) turut mengkritik kerajaan kerana "meminggir, menindas dan tidak memperdulikan" masyarakat India sehingga menjadikan mereka 'rakyat kelas empat'.
Lim dan Kohilan membayangkan bahawa kenyataan Paranjothy itu mungkin ekoran daripada beberapa perbincangan Pemuda Gerakan mengenai punca dan implikasi perhimpunan anjuran Hindraf pada 25 November lalu.
“(Bagaimanapun), jawatankuasa (Pemuda) tidak berbincang untuk mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Kami percaya kepada semangat sebenar permuafakatan dalam BN dalam menyelesaikan masalah semua rakyat Malaysia," kata mereka.
Lim dan Kohilan berkata, isu-isu yang dibangkitkan oleh Paranjothy harus diselesaikan secara dalaman atau melalui "perbincangan" tanpa perlu menyerang pihak lain melalui media.
'Tidak perlu tuding jari'
Mengenai tuduhan Paranjothy bahawa Umno memainkan sentiman perkauman, Lim dan Kohilan berkata, Pemuda Gerakan komited sepenuh kepada nasihat Ketua Pemuda Umno yang juga Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussien supaya melupakan yang apa yang sudah berlalu.
Menurut mereka, adalah tidak membina untuk membangkitkannya semula kenyataan dan tindakan yang lalu, yang diakui telah melukai perasaan satu sama lain.
Mengenai kenyataan Paranjothy mengenai nasib masyarakat India, Lim dan Kohilan berkata, jalan terbaik untuk mengatasi masalah seumpama itu ialah melalui "perundingan dan mencari penyelesaian yang konkrit" tanpa perlu menuding jari melalui media.
“Pemuda Gerakan ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami memahami dan bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh sekelompok masyarakat India di Malaysia, terutama golongan berpendapatan rendah berkaitan dengan kedudukan ekonomi dan sosial mereka," kata Lim (kiri) dan Kohilan.
Menurut mereka lagi, masalah yang dihadapi masyarakat India adalah merupakan masalah nasional dan memerlukan perhatian dan tindakan dari kerajaan.
Lim dan Kohilan berkata mereka mengeluarkan kenyataan hari sebagai respons kepada kenyataan Paranjothy kerana Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong kini berada di luar negara. Berita asal

