Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tunggu laporan MCMC kes ugut peguam di medsos
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 1:48 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Polis masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu mengenal pasti individu yang dipercayai memuat naik ugutan terhadap seorang peguam di media sosial berkaitan kes tembakan di Melaka.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata keterangan daripada peguam terbabit serta beberapa individu telah diambil bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata peguam yang mewakili tiga lelaki dalam insiden terbabit telah membuat laporan pada 5 Dis lepas setelah membaca salah daripada komen dalam hantaran di aplikasi Facebook.

“Kami telah memohon bantuan MCMC untuk mendapatkan profil individu yang membuat komen (ugutan) terbabit dan masih menunggu maklum balas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat dilaporkan berkata peguam terbabit membuat laporan selepas membaca komen daripada individu tidak dikenali menerusi hantaran di platform media sosial ketika berada di pejabatnya di Petaling Jaya, dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes yang sedang dikendalikan oleh peguam berkenaan.

Pada 24 Nov lepas, polis Melaka dilaporkan menembak mati ketiga-tiga suspek dikenali Geng DT selepas menetak seorang anggotanya yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata siasatan mendapati suspek utama berusia 29 tahun memiliki 39 rekod lampau jenayah dan dadah selain turut dikehendaki polis manakala seorang lagi mempunyai 12 rekod jenayah dan dadah.

Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS