Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Bentong hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri pada minggu lepas.
Lee Kang Foong, 40, didakwa memandu kereta jenis Mercedes-Benz dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Karmilawati Muhamad Ya'akob dan Mohammad Nazri Md Salleh, masing-masing berusia 51 tahun, di KM3 Jalan Bentong–Gombak, di Bentong pada 8.15 malam, 10 Dis lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Adawiah Abdul Wahab menawarkan jaminan RM10,000, bagaimanapun peguam Young Hiang Siong merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang mengalami pelbagai masalah kesihatan turut menjaga ibu bapanya.
Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar menetapkan jaminan RM8,000 dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung serta sebutan semula kes pada 23 Feb tahun depan.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri maut dalam kemalangan, manakala anak mereka yang memandu kereta Proton Saga parah di kepala.
- Bernama
