Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Umno tiada hubungan langsung dengan DAP, hanya BN-PH

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan bahawa partinya tidak mempunyai “hubungan langsung” dengan DAP, sebaliknya menekankan bahawa kerjasama sedia ada dalam kerajaan perpaduan terjalin antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan politik.

Ahmad Zahid Hamidi

“Kita (Umno) tidak pernah mempunyai hubungan langsung dengan DAP.

“Hubungan kita ialah antara Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan. Oleh kerana MCA adalah merupakan parti komponen di dalam BN dan DAP adalah parti komponen di dalam PH.

“Maka kita harus meletakkan asas utama bahawa kerjasama ini bukan daripada parti ke parti, tetapi dari segi gabungan ke gabungan dan perkara ini boleh diselesaikan juga kesefahaman dapat dicapai,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Pengerusi BN itu berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Presiden MCA Wee Ka Siong pada perhimpunan agung tahunan parti itu pada 7 Dis yang dilaporkan memberi amaran agar BN tidak meneruskan kerjasama dengan PH dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapannya kepada perwakilan, Wee membuat ancaman halus tetapi jelas bahawa MCA bersedia meninggalkan BN sekiranya “sebahagian sekutu BN” mahu terus bekerjasama dengan DAP dan PH.

Walaupun Wee tidak menamakan mana-mana pihak secara khusus, ia difahami merujuk kepada Umno yang dipimpin Zahid, yang juga timbalan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Zahid hari ini menegaskan kepentingan mengamalkan “rasionaliti politik”, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

“Serahkanlah kepada kepimpinan utama kedua-dua gabungan untuk menangani dan melepasi permasalahan yang ada,” katanya.

Wee sebelum ini menyasarkan DAP dan PH atas dakwaan melakukan banyak “pusingan U” dalam pelbagai isu, namun tidak memperincikannya.

Perhimpunan agung MCA itu berlangsung susulan pilihan raya negeri Sabah yang menyaksikan DAP tewas di semua kerusi yang ditandingi, PKR kekal dalam pentadbiran pimpinan GRS dengan hanya satu kerusi, manakala Umno memperoleh enam kerusi.

Selain MCA, Zahid yang juga adalah timbalan perdana menteri hari ini diserang Pemuda MIC selepas dia menuduh parti komponen BN itu “mabuk kuasa” susulan cadangan MIC untuk turut meninggalkan gabungan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS