Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari: Amanah besar pimpin MITI harungi cabaran global
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 8:51 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Johari Abdul Ghani menyifatkan pelantikannya untuk menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai satu amanah yang besar.

Katanya hal itu memandangkan negara sedang menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan serta perkembangan teknologi yang pesat.

"MITI memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan senarai rombakan kabinet kerajaan Madani dengan Johari bertukar portfolio dari Kementerian Perladangan dan Komoditi sebelum ini.

Kekosongan bagi jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berlaku susulan tempoh perkhidmatan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai senator dan ahli Dewan Negara berakhir pada 2 Dis lalu.

Timbalan Menteri MITI akan disandang oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang juga muka baru dalam pelantikan kali ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS