Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sindiket ‘fly’: Dua askar Serbia ditahan di KLIA - sumber

Dua anggota tentera Serbia telah ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di KLIA pada 12 Disember lalu selepas disyaki masuk ke Malaysia secara tidak teratur, atau sindiket ‘fly’.

Menurut sumber dalaman AKPS, mereka ditahan di Balai Berlepas Terminal 1 ketika ke sana untuk pemeriksaan pasport untuk menaiki penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul yang dijadualkan berlepas pada jam 11 pagi hari tersebut.

"Pemeriksaan awal mendapati pasport kedua-dua individu berkenaan tidak mempunyai cap masuk terkini ke Malaysia.

"Semakan pergerakan melalui sistem MyIMMS merekodkan kemasukan mereka pada 14 November 2025 melalui KLIA Terminal 2. 

“Perkara itu menimbulkan syak munasabah bahawa mereka telah memasuki negara ini secara sindiket ‘fly’," katanya kepada Malaysiakini.

Sindiket 'fly' ialah sindiket penipuan cop keluar masuk pekerja asing tanpa memerlukan kehadiran warga asing secara fizikal.

Kata sumber lagi, kedua-dua lelaki warga Serbia itu ditahan dan disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka kini ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta berkenaan dan ditempatkan di Depot Imigresen, Aras 3, Pejabat Imigresen (Operasi) untuk siasatan lanjut

"Dua laporan polis dibuat terhadap terhadap dua individu tersebut pada hari yang sama di Balai Polis KLIA," tambah sumber itu lagi.

Ketika dihubungi, Ibu Pejabat Polis KLIA enggan memberikan pengesahan berhubung laporan polis yang dibuat. 

Sementara itu, sumber turut membangkitkan kebimbangan berhubung dua anggota tentera negara luar yang tinggal lebih masa di Malaysia.

"Kenapa mereka tinggal lebih masa di sini. Apa niat mereka?

"Kemudian yang paling penting, siapa pegawai yang membantu (kemasukan) mereka?" soalnya.

Ketika dihubungi, jurucakap AKPS mengesahkan penahanan tersebut.

“AKPS mengesahkan tangkapan dua individu seperti yang dilaporkan dan perkara itu sedang dalam siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi Konsulat Serbia di Kuala Lumpur dan masih menunggu maklum balas mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS