Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi menyindir timbalan menteri pendidikan tinggi yang baru dilantik, Adam Adli Abd Halim, dengan mencabarnya supaya menunaikan janji untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini setelah memegang portfolio berkenaan.
Puad menggesa Adam supaya bersuara lantang dalam mesyuarat pasca kabinet di Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menuntut pemansuhan skim pinjaman itu, sambil menegaskan hanya dengan cara itu aktivisme lampau Adam akan kelihatan berbaloi.
“Tahniah Adam Adli dapat potfolio paling sesuai iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Bolehlah hapuskan PTPTN.
"Tolong bersuara nyaring untuk hapuskan PTPTN dalam mesyuarat pasca kabinet KPT.

"Baru nampak berbaloi tidur dalam khemah di dataran Merdeka," perli Puad pada hantaran di media sosial.
Dia turut memetik slogan bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli sambil Puad memperlekeh idealisme reformasi yang menurutnya lebih mudah dipertahankan ketika berada di blok pembangkang berbanding ketika memegang kuasa.
“Itu yang Rafizi kata “hidupkan idealisme reformasi ujian kuasa (hiruk)”.
"Jadi pembangkang memang mudah. Tapi bila berkuasa baru tahu tinggi dan rendah langit. Takkan nak tidur lagi di Dataran Merdeka,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu lagi.

Semasa era aktivisme mahasiswa pada tahun 2010an, Adam muncul antara pendukung utama pendidikan percuma di Malaysia, dengan berkempen secara agresif untuk pemansuhan pinjaman PTPTN.
Melalui penglibatannya dalam demonstrasi berskala besar, dia secara konsisten menyorot beban hutang berlebihan yang terpaksa ditanggung pelajar sejak usia muda.
Adam juga sebelum ini mengkritik cadangan kerajaan untuk mengenakan semula larangan perjalanan terhadap peminjam yang ingkar bayaran, dengan menuduh bekas pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, telah menjadikan badan tersebut "paling bangsat."
Adam dilantik sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi dalam rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.
Dia menggantikan Mustapha Sakmud, yang dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak). Adam sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan menteri belia dan sukan.
