Belanda buat pertama kalinya mencatatkan bilangan penduduk berusia 65 tahun ke atas yang lebih tinggi berbanding mereka yang berumur di bawah 20 tahun, menurut data yang dikeluarkan oleh Statistik Belanda (CBS) pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
Pada awal tahun ini, negara itu merekodkan kira-kira 3.76 juta penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, berbanding 3.72 juta orang di bawah usia 20 tahun. CBS turut menyatakan bahawa jurang itu dijangka melebar dengan ketara dalam dekad-dekad akan datang.
Unjuran menunjukkan menjelang 2070, Belanda akan mempunyai kira-kira 5.4 juta warga emas, manakala bilangan golongan muda dijangka mencapai 4.1 juta.
Bilangan penduduk berusia 80 tahun ke atas pula diramal meningkat mendadak daripada lebih 900,000 orang tahun ini kepada kira-kira 2.1 juta pada 2070. Dalam tempoh yang sama, populasi berumur 99 tahun ke atas dijangka meningkat daripada kira-kira 4,400 kepada lebih 38,000 orang.
CBS mengatakan trend penuaan ini terutamanya kepada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran. Belanda kali terakhir mencatatkan lebih 200,000 kelahiran pada 2002, manakala kira-kira 166,000 bayi dilahirkan pada tahun lepas.
Pakar telah menyuarakan kebimbangan mengenai impak ekonomi dan sosial daripada populasi yang menua ini, terutamanya risiko kekurangan tenaga kerja memandangkan bilangan pesara berkembang lebih cepat daripada populasi usia bekerja.
Kekurangan kakitangan dalam sektor penjagaan kesihatan dijangka bertambah buruk dalam tahun-tahun mendatang seiring dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan.
CBS menganggarkan jumlah penduduk Belanda boleh mencecah 20.6 juta menjelang 2070, namun menegaskan bahawa unjuran itu masih tidak menentu. Pertumbuhan penduduk pada masa hadapan akan bergantung kepada faktor seperti trend migrasi, jangka hayat, dan kadar kesuburan.
-Bernama
