Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad cadang KPI, beri menteri tempoh 100 hari buktikan prestasi
Diterbitkan:  Dec 17, 2025 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi mencadangkan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menetapkan pengukur prestasi utama (KPI) kepada semua menteri kabinet kerajaan Madani.

Katanya, semua anggota jemaah menteri juga perlu diberi tempoh 100 hari untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Puad berkata, baki tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini hanya sekitar dua tahun lagi, justeru barisan kabinet baharu perlu menunjukkan prestasi tinggi sekiranya mahu dikekalkan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan datang.

Puad Zarkashi

“Kabinet baru kerajaan Madani cuma ada baki dua tahun sahaja lagi untuk memikul amanah. Barisan kabinet ini mesti berprestasi tinggi jika mahu kekal selepas PRU ke-16.

“Ada baiknya PMX (Anwar Ibrahim) letak KPI untuk semua menteri. Beri mereka tempoh 100 hari untuk membuktikan prestasi,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Semalam, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan pelantikan beberapa menteri baru serta pertukaran beberapa portfolio, berikutan kekosongan dalam kabinet kerajaan dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian.

Mengulas lanjut, Puad berkata, setiap menteri perlu tampil dengan idea baharu serta melaksanakan transformasi dalam kementerian masing-masing sebagai penanda aras sama ada perubahan benar-benar berlaku.

“Setiap menteri mesti ada benda baru dan transformasi yang dilakukan. Ia penanda aras sama ada perubahan berlaku.

“Bagus juga menteri menteri bersaing sesama mereka. Bersaing untuk jaga nama baik parti masing masing. Ini persaingan sihat,” katanya.

Tambah Puad, pendekatan tersebut akan memudahkan rakyat menilai parti mana yang benar-benar serius bekerja untuk kepentingan rakyat.

“Tiada masa berbulan madu,” tegasnya.

Menteri baru dan pertukaran portfolio beberapa menteri semalam adalah seperti berikut:

Hannah Yeoh - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)

Mustafa Sakmud - Menteri Hal Ehwal Sabah & Sarawak

Zulkifli Hasan - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Johari Ghani - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Steven Sim - Menteri Usahawan dan Koperasi

Akmal Nasrullah Mohd Nasir - Menteri Ekonomi

Dr Mohammed Taufiq Johari - Menteri Belia dan Sukan

Arthur Joseph Kurup - Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

Noraini Ahmad - Menteri Perladangan dan Komoditi

R Ramanan - Menteri Sumber Manusia


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS