Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar punya tanggungjawab lebih besar dengar teguran - Rafizi
Diterbitkan:  Dec 17, 2025 4:23 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Anwar Ibrahim selaku perdana menteri mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk mendengar teguran supaya episod "16 tahun tak pernah bangkang" tidak berulang, kata bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

Jelas bekas menteri ekonomi itu, teguran terhadap perdana menteri bukan soal "merajuk" seperti serangan peribadi segelintir pengkritik terhadapnya.

"Golongan muda yang tak melalui peristiwa 1998 mungkin tak nampak implikasinya. Kalau naratif 'merajuk-narsisis' tu kita pakai balik kepada Anwar pada tahun 1998, lagi sedap orang tembak. '16 tahun dalam kerajaan, tak pernah bangkang… tiba-tiba reformasi?' Itu dialog yang saya dengar masa muda dulu.

"Sebab jawapan saya dari dulu sampai sekarang sama: ‘this is not about Anwar Ibrahim the person’ (Ini bukan tentang Anwar Ibrahim sebagai individu). Ini pasal keruntuhan kredibiliti institusi bila kuasa digunakan untuk selesaikan saingan politik. Kalau benda itu boleh dibuat pada seorang timbalan perdana menteri, tidak ada seorang pun selamat.

"Sekarang Anwar jadi PM, lagi besar tanggungjawab dia untuk dengar teguran supaya reformasi yang kita jerit sejak 1998 tu bukan tinggal slogan. Kalau PKR/PH pilih budaya defensif, tak jawab isu, tak betulkan kelemahan, pergi serang orang, itu jalan Najib (Razak) dulu," kata Rafizi dalam satu hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata penyakit lama berulang kembali apabila sesebuah parti itu menjadi kerajaan dan memakai topi pemerintah.

Menurutnya, semua perkara berkaitan dengan rakyat dilihat pada kaca mata pemerintah yang akhirnya mempersoalkan mengapa rakyat tidak mahu ikut.

Jelas Rafizi lagi, rakyat tak ambil peduli situasi dalaman sesebuah parti politik namun lebih tertumpu kepada pertimbangn tentang kehidupan mereka yang bertambah baik atau sebaliknya.

"Rakyat bukan duduk kira siapa merajuk, siapa narsisis, siapa betul. Rakyat fikir satu benda: hidup dia makin senang ke makin sempit? Institusi negara makin elok ke makin rosak?

"...malah, jangan juga silap, sesuatu isu jadi besar bukan sebab saya. Dia jadi besar sebab isu itu dekat dengan rakyat, sebab ada rakyat yang memang fikir benda sama, cuma tak ada medium.

"Jadi ini bukan soal Rafizi merajuk tak merajuk. Ini soal kerajaan dan kalau terus lari dari masalah, malapetaka lain pula akan datang. Dua tahun sebelum Parlimen bubar pun boleh hangus kalau strategi politik masih sangat-sangat ke laut," tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS