Tiada lagi kuil Hindu yang akan dirobohkan pada masa depan, dan jika ada yang perlu dirobohkan, tapak gantian yang sesuai mestilah disediakan terlebih dahulu, kata Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Sehubungan, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta beliau supaya menjalan pemantauan terhadap semua kuil di negara ini dan mengemukakan laporan kepada kabinet dari masa ke semasa.

Katanya, Perdana Menteri juga meminta MIC mengemukakan kepada beliau dan kabinet senarai kuil-kuil yang mungkin perlu dirobohkan atas pelbagai sebab.

"Oleh kerana kuil adalah perkara yang sensitif, maka pendekatan baru adalah perlu bagi menyelesaikan masalah tersebut dan MIC telah mengambilalih sepenuhnya tugas ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Samy Vellu yang juga Menteri Kerjaraya berkata, beliau akan mengunjungi semua negeri tidak lama lagi bagi menyiapkan laporan mengenai jumlah kuil di negara ini dan masalah yang mereka hadapi, untuk dikemukakan kepada kabinet.

"Kita akan mengenalpasti terlebih dahulu, kuil-kuil yang dibina tanpa kebenaran dan menyemak status mereka. Kita mahu tahu sekiranya ada langkah atau notis untuk meroboh atau memindahkannya," kata beliau lagi.

Ekoran arahan Perdana Menteri itu, Samy Vellu berkata, beliau telah mengarahkan Ketua MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan dan Exco Kerajaan Selangor, Kamala Ganapathy supaya mengaturkan perjumpaan dengan ketua-ketua kuil di negeri masing-masing.

Sedia tapak ganti

Matlamat perjumpaan tersebut, katanya, ialah untuk mengesahkan status tanah tempat kuil dibina, mendapatkan peruntukan tapak kuil di semua kawasan perumahan baru serta mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan semua kuil yang ada.

Menurutnya, apa yang lebih penting ialah tapak gantian yang sesuai perlulah disediakan terlebih dahulu sebelum sebarang kuil dipindahkan.

Menurutnya, perjumpaan di Wilayah Persekutuan akan disertai oleh 780 ketua kuil manakala perjumpaan di Selangor pula akan dihadiri oleh 870 ketua kuil di negeri itu.

Samy Vellu berkata, perjumpaan yang serupa akan diadakan di semua negeri yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri. Selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor, perjumpaan ketiga akan diadakan di Perak.

"Saya akan meneliti semua perkara membabitkan kuil bagi memastikan tiada lagi kuil yang dirobohkan pada masa depan dan jika perlu dirobohkan, tapak gantian yang sesuai mesti disediakan supaya penganut Hinda dapat terus beribadat," tambahnya.

"Tidak ada lagi kuil - sama ada yang dibina secara sah atau tanpa kebenaran - akan dirobohkan tanpa perbincangan dengan MIC terlebih dahulu," kata Samy Vellu.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyediakan sokongan yang diperlukan bagi menyelesaikan semua perkara yang membabitkan kuil seperti sebelumnya.