Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu Zara: Kami dinasihat audit tabung lepas inkues, kes selesai
Diterbitkan:  Dec 17, 2025 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Penggunaan dana dalam Tabung Justice For Zara mempunyai rekod yang jelas, kata ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat.

Noraidah, 45, berkata pihaknya telah dinasihatkan untuk hanya melakukan audit dana terbabit selepas prosiding inkues dan kes anaknya selesai.

Sehubungan itu, dia meminta semua pihak agar tidak memfitnah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, yang merupakan aktivis memulakan gerakan Justice for Zara.

“Kepada yang suka memfitnah beliau (Marhamah), boleh baca hingga hadam. Tabung tersebut hanya dibuka dua hari dan sudah ditutup.

“Segala penggunaan dana ada direkod dengan jelas dan kami dinasihatkan hanya akan melakukan audit apabila selesai prosiding inkues dan kes,” katanya.

Dia berkata demikian dalam perkongsian di Facebook yang menyertakan tajuk berita sebuah portal menyebut: “Marhamah jawab kontroversi salah guna dana dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara”.

Hari ini, Marhamah ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur menegaskan tiada dana yang disalah guna dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara bagi menampung kos proses inkues.

Dia berkata akaun tabung berkenaan diasingkan sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang pernah dipengerusikannya selain mempunyai penama tersendiri termasuk Noraidah dan beberapa peguam.

Marhamah antara individu terawal membantu memberi sokongan kepada Noraidah selepas Zara Qairina - yang bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Papar - disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lepas.

Zara Qairina yang juga pelajar tingkatan satu sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS