Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa sampai sekarang tiada polis ditahan, soal Lim
Diterbitkan:  Dec 18, 2025 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Seorang ahli Parlimen DAP menggesa polis menperjelas mengapa sehingga kini tiada anggotanya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan yang mengorbankan tiga lelaki di Durian Tunggal di Melaka, bulan lalu.

Ini kata , ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, di sebalik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes itu sebagai siasatan pembunuhan.

Dia seterusnya memberi amaran bahawa kegagalan bertindak pantas dalam kes seperti ini boleh menyebabkan “sejarah berulang”.

“Dua hari sudah berlalu (sejak arahan AGC), namun tiada seorang pun panggota ditahan.

“Rakyat tidak mahu sejarah berulang. Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu membuktikan bahawa apabila pihak berkuasa gagal bertindak segera, seseorang yang disabitkan kesalahan pun boleh melarikan diri ke Australia dan kekal bebas.

“Kini, skrip sama berisiko berulang di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 24 Nov, polis menembak mati tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun selepas seorang daripada mereka didakwa menyerang seorang anggota polis dengan parang di sebuah ladang kelapa sawit.

Keluarga Mangsa

Ketua Polis Melaka Dzulkhair Mukhtar mempertahankan tindakan pasukannya, dengan mendakwa insiden itu menyebabkan seorang anggota polis cedera.

Namun, peguam yang mewakili keluarga mangsa menolak versi polis, dengan peguam Rajesh Nagarajan menuntut agar anggota polis yang menembak mati ketiga-tiga lelaki itu didakwa atas kesalahan membunuh.

Bukti audio

Pada 6 Dis, keluarga mangsa menyerahkan rakaman audio insiden berkenaan yang dikatakan menafikan versi rasmi polis mengenai apa yang berlaku.

Menurut peguam mereka, N Surendran, rakaman audio yang dibuat oleh isteri salah seorang mangsa itu merupakan bukti penting yang merakam detik-detik terakhir sebelum ketiga-tiga lelaki berkenaan ditembak mati.

Pada 16 Dis, AGC mengarahkan polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan selepas meneliti laporan yang dikemukakan.

Lim menegaskan bahawa dalam mana-mana siasatan pembunuhan, prosedur asas ialah menahan suspek untuk siasatan.

“Jadi, apa yang ditunggu oleh pihak polis? Adakah ada pihak yang cuba dilindungi? Ketua Polis Negara tidak boleh terus berdiam diri.

Rakyat mahukan jawapan, bukan alasan. Sesiapa yang memberi arahan (untuk menembak ketiga-tiga lelaki itu) dan sesiapa yang melepaskan tembakan mesti dikenal pasti dan dibawa ke mahkamah," kata pemimpin DAP itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS