Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Namewee: Pendakwaan akan mohon DNAA satu pertuduhan dadah

Pihak pendakwaan akan memohon untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Namewee daripada satu pertuduhan berkaitan dadah, kata Peguam Negara Dusuki Mokhtar.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dusuki berkata permohonan itu akan dibuat susulan keputusan negatif ujian air kencing penyanyi rap berkenaan.

“Oleh kerana laporan patologi menunjukkan keputusan negatif, pihak pendakwaan akan memohon DNAA bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagaimanapun, pendakwaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, berkaitan pemilikan dadah, akan diteruskan,” katanya.

Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, didakwa pada 24 Oktober lalu atas dua pertuduhan berkaitan dadah, di mana dia mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan memiliki 5.12 gram ekstasi dan satu lagi pertuduhan memasukkan amphetamine, methamphetamine, tetrahydrocannabinol, dan ketamine ke dalam tubuhnya, seperti dilaporkan New Straits Times.

Dia ditahan pada 22 Oktober selepas ditemui bersama sembilan biji pil yang disyaki ekstasi di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur, lokasi seorang pempengaruh dari Taiwan ditemukan meninggal dunia.

Namewee merupakan individu penting yang membantu siasatan berhubung kematian pempengaruh tersebut, kerana dia dilaporkan sebagai orang terakhir yang dilihat bersama wanita berkenaan sebelum mayatnya ditemukan di dalam tab mandi.

Kes itu, yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, kini disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS