Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bangkai haiwan di sangkar klinik: JPV terima lebih 1,900 aduan
Diterbitkan:  Dec 18, 2025 9:36 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerima 1,920 aduan setakat hari ini berhubung kes pengabaian haiwan di sebuah klinik veterinar swasta di Damansara Damai, Petaling Jaya.

Jabatan berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan penguat kuasa JPV Selangor telah membuat tindakan lanjut di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan dengan memanggil Orang Yang Disyaki (OYDS) supaya hadir di pejabat JPV Selangor bagi memberi keterangan berhubung kes terbabit.

"Siasatan juga akan diteruskan dengan mengesan saksi lain yang mungkin boleh membantu siasatan berdasarkan rakaman video yang tular," menurut kenyataan itu.

Semalam, JPV Selangor menerusi kenyataan memaklumkan telah mengambil tindakan susulan dengan melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.

Pemeriksaan oleh pasukan Pegawai Kebajikan Haiwan (PKH) itu telah menjumpai satu karkas kucing dan satu karkas anjing yang diletakkan di dalam sangkar yang berbeza.

Karkas berkenaan telah dihantar ke Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi, Sepang, bagi dijalankan bedah siasat.

Terdahulu, video dan gambar mengenai kejadian itu yang memaparkan seekor anjing dan kucing mati di sebuah klinik veterinar tidak terurus di Damansara Damai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS