Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau tidak mengugut Gerakan dalam isu berkaitan dengan kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy yang menuduh Umno mengapi-apikan sentimen perkauman di negara ini.

"Itu bukan ugutan, itu satu kenyataan, saya tidak pernah ugut orang dengan hal-hal berkaitan dengan kebenaran dan berkaitan parti," katanya.

Beliau mengulas kenyataan pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menyifatkan kenyataannya Hishammuddin bahawa Pemuda Umno sedia memutuskan hubungan dengan Gerakan ekoran isu tersebut, sebagai satu ugutan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau tidak berniat menjadikan isu itu sebagai polemik perkauman tetapi sekadar membetulkan tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap kepimpinan Pemuda dan Umno, demikian menurut laporan Bernama.

Ketika ditanya sama ada Paranjothy masih layak berada dalam parti Gerakan dan BN, Hishammuddin berkata perkara berkenaan bukan dalam bidang kuasanya.

Alu-alukan tindakan

"Itu bukan tempat saya, kalau libatkan Pemuda saya, dah lama saya pecat tapi ini bukan Pemuda saya," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Ulu Luit dan Paya Pasir di Maran hari ini.

Hishammuddin bagaimanapun berkata isu berkenaan timbul hanya disebabkan perbuatan seorang anggota parti dan tidak mencerminkan persepakatan anggota lain.

Beliau juga menyambut baik tindakan tatatertib yang bakal dikenakan terhadap Naib Ketua Pemuda Parti Gerakan S. Paranjothy kerana membuat kenyataan kononnya Umno adalah penyebab kaum India menjadi mundur.

Katanya, keputusan oleh Gerakan untuk mengenakan tindakan terhadap Paranjothy adalah satu contoh mengenai pendirian parti itu dan semangat Barisan Nasional (BN) dalam menangani masalah itu.

"Saya menerima secara terbuka dan mengalu-alukannya, itulah pendirian kepimpinan serta disiplin dalam sesuatu parti dan dalam konteks semangat BN apabila sesuatu yang tidak seharusnya berlaku telah berlaku," katanya.

Hishammuddin berkata beliau akan mengikuti tindakan yang bakal dikenakan terhadap Paranjothy sebelum membuat pendirian lanjut berhubung isu itu.

Enggan ulas

Sementara itu, Paranjothy ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

katanya, sebarang kenyataannya kepada pihak media sekarang boleh menjejaskan pembelaannya jika dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.

Manakala Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin dan ahli jawatankuasa pusat pergerakan itu, Kohilan Pillay, dalam satu kenyataan bersama semalam, menyuarakan rasa terperanjat mereka dengan kenyataan keras Paranjothy itu.