Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Kasim, anak guam dapat ganti rugi hampir RM300,000
Diterbitkan:  Dec 19, 2025 6:01 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, memerintahkan peguam Siti Kasim dan anak guamnya dibayar ganti rugi berjumlah RM274,375 berhubung serbuan tidak sah di rumahnya pada Jun 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman difailkan Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 62, dan Anis Nur Izzatty Ruslan, 31, pada Januari 2021.

Mereka menamakan 30 defendan termasuk kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam penghakimannya, Arziah memutuskan serbuan polis itu menyalahi undang-undang kerana dilakukan tanpa sebarang niat untuk menghubungi penghuni rumah terlebih dahulu.

Mahkamah memutuskan kerajaan membayar RM120,625 sebagai ganti rugi am kepada Siti Kasim dan RM53,750 kepada Anis, selain ganti rugi teladan bersama RM100,000 dan kos RM50,000.

“Plaintif pertama (Siti Kasim) seorang peguam telah ditahan semasa menjalankan tugas profesionalnya. Tindakan defendan menunjukkan sikap tidak peduli terhadap hak perlembagaan plaintif,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Anis Najwa Nazari mewakili defendan manakala plaintif diwakili peguam A. Surendra Ananth.

Dalam saman itu, mereka menyatakan Anis mendapatkan bantuan dan perlindungan di rumah Siti Kasim kerana masalah keluarga, tinggal di rumah itu pada 21 Jun 2018 ketika peguam itu menghadiri satu persidangan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, sembilan anggota polis berpakaian preman telah memasuki rumah Siti Kasim dengan memecahkan pintu jeriji dan pintu utama.

Plaintif mendakwa polis membawa Anis secara tidak sah yang ketika itu bersembunyi di dalam bilik air ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Pada 23 Jun 2018, Siti Kasim telah ke IPD Kajang selepas mengetahui Anis ditahan.

Siti Kasim mendakwa tidak dibenarkan berjumpa anak guamnya dan kira-kira 11 malam hari sama, beliau ditahan polis atas alasan menculik Anis dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS