Mahkamah Persekutuan - mahkamah yang tertinggi di negara ini - akan mengumumkan keputusannya esok sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah yang mempunyai bidangkuasa untuk mendengar isu perceraian yang membabitkan Subashini dan suaminya yang telah memeluk Islam serta hak penjagaan anak-anak mereka.
Panel tiga orang hakim - Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Abdul Aziz Mohamad dan Datuk Azmel Ma'amor - akan membuat penghakiman tersebut, tiga bulan selepas peguam kedua belah pihak selesai membentangkan hujah masing-masing dalam kes kontroversi tersebut.
Subashini, 28, memohon untuk menghalang suaminya, T Saravanan, 31, yang telah memeluk Islam, dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah - daripada membawa kes perceraian mereka dan yuntutan hak penjagaan anak-anak mereka ke mahkamah syariah.
Saravanan memeluk Islam pada bulan Mei 2006 bersama-sama dengan anak sulung mereka, Dharvin Joshua, 4. Beliau kemudiannya memulakan prosiding perceraiannya di Mahkamah Syariah serta untuk mendapatkan penjagaan anak lelaki kedua mereka, Sharvin, 2.
