Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar, Butterworth pada 10 Dis lalu selepas ia dipercayai mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata lelaki berusia 20-an yang juga anak kepada wanita terbabit direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Dis bagi membantu siasatan.
“Siasatan polis mendapati kebakaran yang mengorbankan dua mangsa tersebut mempunyai unsur jenayah dan susulan itu kami menahan lelaki berkenaan yang mempunyai hubungan keluargaan dengan mangsa bagi membantu siasatan kes itu.
“Polis juga mendapat perintah reman ke atas lelaki terbabit yang ketika ini masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), manakala siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dia memaklumkan mayat wanita dan anak angkatnya masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas, namun belum boleh dituntut ahli keluarga kerana masih menunggu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan rasmi.
Dalam kejadian itu, Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkat perempuan dikenali sebagai Andra berusia lima tahun rentung akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan, manakala anak lelakinya cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh.
Media melaporkan bomba menerima panggilan pada jam 9.41 pagi dan mayat kedua-dua mangsa dijumpai di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala anak lelakinya ditemukan di kawasan pintu dapur.
Lelaki terbabit kemudian dibawa ke HSJ untuk rawatan lanjut.
- Bernama
