Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Penyokong tegar Najib berkumpul tunggu keputusan mahkamah
1

Ratusan penyokong tegar Najib Razak mula berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi hari ini menjelang keputusan mahkamah berhubung permohonan bekas perdana menteri itu untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Suasana di luar mahkamah diwarnai laungan sokongan seperti ‘Keadilan untuk Najib’, ‘bebas bossku’ dan ‘Lawan tetap lawan’, sebagai tanda solidariti terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Difahamkan, penyokong yang hadir datang dari pelbagai negeri, termasuk dari utara Semenanjung.

Najib tiba dari Penjara Kajang sekitar jam 8.40 pagi. Isterinya Rosmah Mansor juga kelihatan masuk ke kompleks mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Dalam kes berprofil tinggi itu, bekas perdana menteri berkenaan telah menghabiskan semua peringkat rayuan selepas gagal membatalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut kenyataan Lembaga Pengampunan, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

"Bagaimanapun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah satu tahun dan tarikh pembebasan akan menjadi 23 Ogos 2029," menurut Lembaga Pengampunan.

Dua bulan selepas pengumuman itu, pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Dalam permohonannya, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Najib turut memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan dan memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.

Penyokong Najib Razak berhimpun di luar kompleks mahkamah.

Selain itu, dia memohon perintah mandamus agar, sekiranya perintah tambahan tersebut wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakannya dengan serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib selepas mendapati afidavit sokongan yang dikemukakan mengandungi keterangan dengar cakap.

Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan, yang kemudiannya membenarkan rayuan tersebut melalui keputusan majoriti 2-1, sekali gus mengarahkan supaya kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.

Susulan itu, Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Namun, pada 13 Ogos lalu panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menolak rayuan AGC dan memutuskan bahawa semakan kehakiman Najib perlu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.

Kes itu kini kembali di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan Hakim Alice Loke telah mendengar hujahan semua pihak dan menetapkan 22 Disember sebagai tarikh penyampaian keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS