Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini melepas dan membebaskan bekas warden sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta daripada tuduhan membunuh seorang penghuni pusat itu, empat tahun lepas.
Hakim Evawani Farisyta Mohammad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sidi Ahmad Amin Mamat, 50.
Tertuduh didakwa membunuh Umar Muhajir Ghazali di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Sintok, Changlun di Kedah antara 11 pagi hingga 6.30 petang, 4 Nov 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Evawani dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kecederaan dialami mangsa adalah akibat perbuatan tertuduh.
“Ia termasuk kemungkinan mangsa dipukul oleh individu lain di dua hingga tiga tempat berbeza serta penemuan dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) individu tidak dikenali pada kain pelekat si mati,” katanya.
Dia berkata tertuduh didakwa memukul bahagian dada dan leher mangsa, sedangkan pakar patologi menyatakan punca kematian adalah akibat kecederaan pada aorta abdomen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Shah Reza Noor Azman manakala Sidi Ahmad Amin diwakili peguam Mohd Hezeri Harun dan Mohd Fadhly Yaacob.
-Bernama
