Siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau kini hampir selesai.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata pihaknya membawa suspek utama berusia 51 tahun ke rumah berkenaan malam tadi bagi melengkapkan bukti.
Dia berkata tiada tangkapan lain dibuat setakat ini dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi tujuan pendakwaan.
"Semalam suspek utama itu dibawa ke lokasi penemuan mayat sebagai prosedur untuk melengkapkan siasatan namun tiada barangan dirampas," katanya kepada pemberita di Seremban hari ini.
Muhammad Idzam berkata walaupun keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) mayat tersebut mengambil masa kira-kira tiga bulan, pihaknya tetap berusaha meneruskan pendakwaan dengan mengambil kira keterangan suspek.
Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita ditemukan dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, pada Khamis lepas.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 51 dan 41 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Identiti wanita itu belum dapat disahkan berikutan keadaan mayat yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.
Wanita itu dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Ampang, Selangor sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg dan ditanam di kampung tersebut.
Turut dilaporkan siasatan mendapati wanita itu dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan suspek yang berusia 51 tahun di rumah mangsa.
-Bernama
