Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak dedah Najib ceria, sudah kemaskan sebahagian barangan
Diterbitkan:  Dec 23, 2025 2:26 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Anak sulung kepada bekas perdana menteri, Najib Razak mendedahkan bapanya semalam dalam keadaan ceria dan telah mengemas sebahagian barangan di penjara dengan harapan keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepadanya untuk menjalani tahanan rumah.

Bagaimanapun kata Nizar, mereka sekeluarga hampa dan kecewa apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bapanya berkait Titah Adendum mengenai tahanan rumah itu.

"Saya pun bila bertemu dengan ayahanda saya lihat mukanya mula-mulanya ceria pada waktu pagi dan telah mengemaskan sebahagian daripada barang-barang di tempat dia tinggal.

"Kecewa sebab kita telah lama perjuangkan tahanan rumah ini, sejak awal tahun lepas di mana saya sendiri yang terima salinan titah adendum daripada seri paduka baginda Sultan Pahang sendiri. Dokumen itu memang wujud. Memang titah itu wujud.

"Yang membuat semua orang kecewa dan marah titah Adendum sebenarnya disorok, kewujudannya tidak diiktiraf sehinggalah pihak peguam ayahanda buat semakan kehakiman," katanya dalam satu video yang dimuatnaik di TikTok miliknya semalam.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke memutuskan titah adendum Yang di-Pertuan Agong mengenai penahanan rumah itu bukan perintah sah yang dibuat dalam pelaksanaan prerogatif pengampunan.

Loke juga berkata perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang menyediakan mekanisme sedemikian.

"Apa cara sekali pun kita akan terus berikhtiar ia tidak akan ternoktah di sini," kata Nizar lagi.

‘Nikmatilah kemenangan politik terbesar anda’

Sementara itu, seorang lagi anak Najib, Mohd Nazifuddin membidas mereka yang memilih untuk bergembira dengan keputusan mahkamah semalam.

"Dan kepada mereka yang memilih untuk bergembira dan meraikan keputusan semalam nikmatilah kemenangan politik terbesar anda: menjatuhkan sebuah kerajaan lama yang telah membina negara ini ke tahap hari ini.

"Selain meraikan sabitan seorang ahli politik Melayu, apakah lagi yang telah dilakukan untuk rakyat — sama ada Melayu, Cina atau India?

"Saya percaya rakyat mampu menilai sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku di Sabah. Masa akan menentukan segalanya," katanya dalam satu kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS