Pemimpin Sabah menyeru rakyat negeri itu menghayati nilai kasih sayang, perpaduan, keharmonian dan menjadikan kepelbagaian budaya serta agama sebagai kekuatan yang perlu terus dipelihara.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata perayaan seperti Krismas memberi peluang berharga kepada semua untuk mengeratkan hubungan dan memupuk keharmonian dalam kepelbagaian agama, etnik dan warisan budaya Sabah.

Beliau menggesa semua pihak menyemarakkan semangat Krismas yang dicirikan oleh kasih sayang dan kemurahan hati serta menegaskan semula komitmen terhadap toleransi, saling menghormati dan perpaduan.
“Perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat dan kestabilan politik menjadi asas kepada kemajuan ekonomi negeri serta pertumbuhan pelaburan.
“Semoga perayaan ini memenuhi rumah anda dan komuniti kita dengan kegembiraan, kedamaian dan keharmonian,” katanya dalam perutusan sempena Krismas di Kota Kinabalu hari ini.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Krismas mengingatkan masyarakat tentang nilai kemanusiaan yang perlu dikekalkan demi membina Malaysia Madani yang lebih harmoni.

“Krismas bukan sekadar sambutan keagamaan, tetapi juga peringatan tentang nilai kemanusiaan, kasih, harapan dan perpaduan. Nilai ini yang menjadi asas kepada pembinaan Malaysia Madani.
“Di zaman penuh cabaran ini, semangat ini yang akan terus mengukuhkan ikatan antara kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.
Arthur berkata semangat hormat-menghormati dan kebersamaan merentasi agama, kaum dan budaya merupakan teras kepada negara yang bersatu dan berdaya tahan.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata Krismas merupakan detik penting yang dapat menyuburkan semangat kebersamaan dan memperkukuh hubungan masyarakat di seluruh Sabah.

Beliau berkata semangat Krismas yang menekankan nilai kasih sayang dan keprihatinan wajar terus dijadikan landasan memperkukuh hubungan antara komuniti serta membina masa depan negeri yang stabil dan makmur.
“Saya mendoakan sambutan ini dapat mengeratkan silaturahim antara kita serta mengeratkan perpaduan, keharmonian, kerjasama dan kebersamaan sebagai rakyat Sabah dalam usaha memajukan dan membangunkan negeri,” katanya.
- Bernama
