Hukuman ke atas Hindraf 25 ditangguhkan
Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menangguhkan tarikh untuk menjatuhkan hukuman ke atas 25 ahli Hindraf (Hindu Rights Action Force) yang mengaku bersalah menyertai satu perhimpunan haram, kepada 1 Februari depan.
Pada mulanya mereka menghadapi tuduhan cubaan membunuh tetapi ia kemudian digugurkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Penangguhan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwaraya kanan Mohd Yusof Zainal Abidin mahu mereka yang menghadapi tuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Selayang, dibawa ke Shah Alam.
Kesemua mereka yang didakwa di Selayang akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk menghadapi tuduhan bersama dengan yang lain.
Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menangguhkan tarikh untuk menjatuhkan hukuman ke atas 25 ahli Hindraf (Hindu Rights Action Force) yang mengaku bersalah menyertai satu perhimpunan haram, kepada 1 Februari depan.
Pada mulanya mereka menghadapi tuduhan cubaan membunuh tetapi ia kemudian digugurkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Penangguhan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwaraya kanan Mohd Yusof Zainal Abidin mahu mereka yang menghadapi tuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Selayang, dibawa ke Shah Alam.
Beliau berkata, kes 39 orang yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan yang sama menyertai perhimpunan haram tersebut, akan dipindahkan ke mahkamah di Shah Alam.
Katanya, adalah lebih selesa untuk membawa mereka ke Shah Alam kerana pihak pendakwa berhasrat untuk mengenakan tuduhan tambahan.
Beliau berkata, apabila proses penggabungan tuduhan itu selesai, kumpulan dari Selayang akan menghadapi satu lagi tuduhan tambahan mengikut Seksyen 149/440 Kanun Keseksaan - kerana melakukan khianat semasa perhimpuna haram.
Mereka pada mulanya didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Dengan persetujuan peguam A Sivanesan yang mengetuai sepasukan lapan orang peguambela, Hakim Azimah Omar berkata, penangguhan tersebut akan memberi masa kepada pihak pendakwa untuk menggabungkan tuduhan.
Azimah juga memberitahu tertuduh bahawa mereka masih boleh menarik pengakuan bersalah sebelum tarikh hukuman dijatuhkan dan minta dibicarakan.
Mereka menghadapi hukuman sehingga lima tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali, apabila hukuman dijatuhkan pada 1 Februari depan.
Kira-kira 80 anggota keluarga dan para penyokong memenuhi dewan mahkamah. Turut hadir ialah pemimpin pembangkang untuk memberi sokongan kepada para tertuduh.
Lim: Gugur tuduhan
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang turut hadir di mahkamah,menggesa Peguam Negara supaya menggugurkan tuduhan terhadap mereka.
“Mereka bukannya penjenayah, mereka hanyalah menyuarakan ketidakpuasan mereka bahawa masyarakat India telah dipinggirkan sedemikian lama di negara ini.
“Peguam Negara patut menarik balik tuduhan dan sebaliknya mengambil iktibar daripada perhimpunan Hindraf untuk mencari jalan menyelesaikan masalah peminggiran masyarakat India," katanya.
Kira-kira 30,000 orang, sebahagian besarnya kaum India, menyertai perhimpunan anjuran Hindraf fi Kuala Lumpur pada 25 November lalu. Polis menggunakan gas pemedih mata dan tembakan air kimia untuk menyuraikan mereka.
Sementara itu, penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran memberitahu bahawa dua pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA - P Uthayakumar dan V Ganabatirau - telah keracunan makanan Isnin lalu.
Thanenthiran, yang turut hadir di mahkamah, memberitahu pemberita bahawa mereka berdua mengalami keracunan makanan selepas diberi makan daging.
“Mereka berdua adalah vegetarian. Sudah tentulah mereka akan mengalami keracunan makanan apabila diberi makan daging," kata Thanenthiran.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat berhubung insiden tersebut dan Uthayakumar dan Ganabatirau telahpun diberi rawatan perubatan. Berita asal

