Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada Najib Razak bagi setiap empat pertuduhan salah guna kuasa, dan penjara lima tahun bagi setiap 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi kes 1MDB.
Ketika memaklumkan hukuman tersebut, hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun memerintahkan agar tempoh penjara dijalankan serentak, bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun bagi kesemua 25 sabitan ke atasnya.
Hukuman penjara tersebut hanya akan bermula selepas dia menghabiskan hukuman penjara untuk kes SRC International, yang sedang dijalaninya.
Sequerah juga memerintahkan Najib untuk membayar denda keseluruhan berjumlah RM11.4 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan jika gagal berbuat demikian, dia perlu menjalani hukuman penjara tambahan sehingga 40 tahun.
Hakim tidak mengenakan sebarang denda ke atas Najib atas 21 kesalahan pengubahan wang haram, dengan menyatakan bahawa ia "bukan mandatori".
Namun, bekas Ahli Parlimen Pekan itu diperintahkan membayar RM2.08 bilion lagi jumlah yang boleh dituntut semula di bawah Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa).
Jika gagal membayar jumlah tersebut, Najib boleh dihukum penjara sehingga 30 bulan.
Dengan keputusan itu, Najib hanya akan memulakan hukuman penjara 15 tahunnya selepas tamat tempoh hukuman penjaranya sekarang pada 2028.
Menurut pengumuman Lembaga Pengampunan sebelum ini, Najib dijadualkan untuk menamatkan hukuman penjaranya bagi kes SRC pada 23 Ogos 2028.
Terdahulu, peguam bela utama Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan beberapa faktor untuk pertimbangan mahkamah berhubung hukuman Najib, termasuk penyesalan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan dia sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa serta tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan berkaitan 1MDB.
“(Najib) pada setiap masa yang penting, telah bekerjasama sepenuhnya dan secara sukarela dengan SPRM dan polis, bermula seawal tahun 2015, ketika beliau masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Semasa pentadbiran tertuduh, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diberi kuasa untuk menyiasat perkara berkaitan 1MDB dan anak syarikatnya.
“Walaupun terdapat sensitiviti politik dan penelitian awam yang berkaitan dengan siasatan ini, tidak pernah ada sebarang dakwaan atau bukti mengganggu saksi, campur tangan terhadap siasatan, atau halangan keadilan yang boleh dikaitkan dengan tertuduh,” katanya.
Menyangkal kenyataan ini, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa skandal 1MDB, yang digelar di peringkat antarabangsa sebagai 'kleptokrasi paling teruk', merupakan salah satu jenayah kewangan paling serius yang pernah dilakukan di negara ini.
"Besarnya kerugian yang dialami, beban kewangan berterusan yang ditanggung oleh kerajaan, dan kerosakan teruk yang menimpa reputasi negara menuntut hukuman yang secara tidak langsung mencerminkan kecaman masyarakat terhadap kesalahan yang dilakukan.
"Apa-apa sahaja yang kurang daripada itu akan gagal menegakkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan dan akan menjejaskan prinsip asas bahawa tiada sesiapa pun, tanpa mengira status atau kedudukan, berada di atas undang-undang," katanya.
Pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan denda tinggi yang berjumlah RM11.39 bilion, jumlah akhir yang diperintahkan oleh hakim.
Pecahan denda adalah seperti berikut:
RM303,149197.15 untuk pertuduhan penyalahgunaan kuasa pertama
RM454,499,636.40 untuk pertuduhan kedua
RM10,407,384,630 untuk pertuduhan ketiga
RM222,854,603.50 untuk pertuduhan keempat.
Hakim, dalam keputusannya yang dibacakan awal hari ini, mensabitkan Najib dengan keempat-empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana 1MDB RM2.3 bilion selepas mendapati bahawa dia gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Berita berkaitan:
Kes 1MDB: Najib didapati bersalah kesemua 25 pertuduhan
Hakim: Ada ikatan ‘tak dapat disangkal’ antara Najib-Jho Low
Hakim: Najib bukan ‘orang kampung’ pura-pura jahil dana 1MDB
Kes 1MDB: Mahkamah putuskan surat derma Arab ‘palsu’
Masa jadi PM, Najib tak campur tangan siasatan 1MDB - Shafee
