Umno Puchong menamatkan kerjasama bahagian itu dengan PH Puchong susulan kegagalan ahli parlimen Puchong yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin memohon maaf dan menarik balik kenyataannya terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
Setiausaha Umno Puchong Yusof Mohamed Yassin berkata tindakan itu diambil selepas tempoh 24 jam yang diberikan kepada Yeo semasa satu “sambutan akhir tahun” dianjurkan Pemuda Umno Selangor di pusat khidmatnya.
“Keputusan ini adalah satu pendirian politik tegas Umno Bahagian Puchong di peringkat Parlimen Puchong, DUN Seri Serdang dan DUN Seri Kembangan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan Puchong sebagai tanda bantahan serta usaha mempertahankan prinsip dan maruah parti, tanpa menjejaskan kerjasama nasional kecuali jika diarahkan oleh kepimpinan Umno atau Barisan Nasional Pusat,” kata Yusof pada satu kenyataan semalam.

Malaysiakini telah menghubungi Yeo untuk mendapatkan komen.
Pada Isnin, Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin mengepalai demonstrasi yang menyasarkan kenyataan Yeo yang menyifatkan usaha Najib mendapatkan tahanan rumah berdepan jalan buntu undang-undang sebagai satu perkara untuk diraikan.
Ketua Pemuda Umno Puchong Khairul Azmil Bashir Mohamed, yang menyerahkan satu memorandum ke pejabat Yeo dan diterima oleh salah seorang pegawainya.
Sementara itu, Yusof berkata penamatan kerjasama dengan PH Puchong bermakna Umno Puchong tidak lagi akan mengadakan mesyuarat bersama, menyelaras atau menganjurkan sebarang program bersama serta tidak akan bekerjasama dalam sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya.

Menurutnya, Umno Puchong juga tidak lagi terikat dengan sebarang perjanjian bersama PH Puchong dan bebas mengambil pendirian sendiri berhubung semua isu tempatan.
“Keputusan ini tidak bermaksud Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Nasional atau Negeri.
"Ia merupakan pendirian politik setempat, selagi tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno atau kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat,” katanya.
Yusof turut menjelaskan bahagian Umno Puchong, yang diketuai bekas Adun Seri Serdang Satim Diman, juga tidak akan menyokong mana-mana calon PH bagi kerusi Parlimen Puchong.
