Pembunuhan Benazir satu jenayah terang-terangan, Kata OIC
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan bekas Perdana Menteri Pakistan dan pemimpin Pakistan People's Party (PPP) Benazir Bhutto, yang menyifatkannya sebagai melampau dan kejam.
Setiausaha agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu berkata jenayah kejam itu, yang berlaku menjelang pilihanraya parlimen Pakistan pada 8 Januari merupakan satu serangan terhadap kestabilan dan keamanan negara itu.
"Ia adalah provokasi terbuka bertujuan untuk menjejaskan usaha ke arah perpaduan, penyatuan dan proses demokratik," kata beliau dalam kenyataan.
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan bekas Perdana Menteri Pakistan dan pemimpin Pakistan People's Party (PPP) Benazir Bhutto, yang menyifatkannya sebagai melampau dan kejam.
Setiausaha agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu berkata jenayah kejam itu, yang berlaku menjelang pilihanraya parlimen Pakistan pada 8 Januari merupakan satu serangan terhadap kestabilan dan keamanan negara itu.
"Ia adalah provokasi terbuka bertujuan untuk menjejaskan usaha ke arah perpaduan, penyatuan dan proses demokratik," kata beliau dalam kenyataan.
Benazir, 54, ditembak oleh seorang pengebom berani mati di Rawalpindi petang semalam selepas menghadiri satu perhimpunan. Sekurang-kurangnya 20 orang lagi terbunuh dalam letupan itu.
Ihsanoglu menyampaikan ucapan takziah beliau kepada keluarga Bhutto dan mangsa lain, anggota PPP dan rakyat Pakistan, demikian menurut laporan Bernama.
Beliau menekankan bahawa mereka di belakang jenayah pembunuhan kejam ini yang bukan hanya musuh kepada Pakistan tetapi juga terhadap keamanan dan toleransi agama Islam dan hendaklah dikenal pasti dengan segera dan dibawa ke muka pengadilan.
Setiausaha agung itu menggesa rakyat Pakistan dan semua parti politik supaya bersikap lebih bijak, kepaduan, perpaduan dan dialog dalam keadaan bergolak sekarang.
Bekas perdana menteri Pakistan itu, yang pulang ke Pakistan Oktober lalu selepas lama hidup dalam buangan bagi mengelak tuduhan rasuah, dikatakan baru selesai memberikan ucapan dalam perhimpunan politik di Rawalpindi apabila insiden itu berlaku.
Pada hari kepulangannya Oktober lalu, Bhutto terselamat dalam dua serangan berani mati ketika beliau sedang melakukan perjalanan dalam perarakan kereta terbuka tetapi hampir 140 orang terbunuh dalam insiden itu.
Laporan awal media di Delhi menyebut ibu kepada dua anak itu pada mulanya cedera parah tetapi kemudian disahkan meninggal dunia di hospital semasa dirawat kerana kecederaan di leher dan belakang.
Malaysia kutuk pembunuhan
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa terkejut dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri Pakistan itu serta mengutuk perbuatan kejam itu yang menyebabkan ramai orang tidak bersalah terbunuh.
"Amat menyedihkan melihat tragedi seperti ini," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Abdullah, yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), berkata perbuatan melampau dan ganas tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan di mana-mana dan pada bila-bila masa pun.
"Mereka yang terlibat mestilah dihukum," katanya.
Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga Benazir dan keluarga mangsa yang lain.
"Saya harap rakyat Pakistan akan bersabar dan berdoa agar keadaan di Pakistan akan kembali stabil," kata Perdana Menteri.
Dr M ucap takziah
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Benazir.
Mereka juga turut menyampaikan ucapan takziah kepada kaum keluaga kalangan orang awam yang turut terbunuh dalam serangan dalam satu perhimpunan di Rawalpindi itu.
"Kami berdoa untuk keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Pakistan, dan berharap keluarga Benazir Bhutto serta rakyat Pakistan sentiasa bersabar dalam menghadapi saat-saat penuh dugaan ini," kata Dr Mahathir dalam mesejnya kepada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Tahir Mahmud Qazi.

