Azmin Ali hari ini meletakkan jawatannnya sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN).
“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.
“Maka saya juga meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung PN bermula 1 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, ahli parlimen Hulu Kelang merangkap ketua pembangkang Selangor tersebut juga memaklumkan bahawa dia mengambil pendirian meletakkan jawatannya sebagai pengerusi PN Selangor berkuatkuasa tarikh yang sama.
Terdahulu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu.
Selepas lima tahun memimpin PN, bekas perdana menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepadanya sepanjang memimpin gabungan tersebut.
Muhyiddin menerajui PN sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan secara rasmi.
"Saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.
Selain Bersatu, parti utama yang berada dalam gabungan PN adalah PAS dan Gerakan.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada PAS termasuk oleh ketua pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan pengerusi PN diberi kepada parti itu.
Perselisihan hubungan antara PAS dan Bersatu semakin memuncak susulan pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.
Faizal ambil langkah serupa
Sementara itu, Ahmad Faizal Azumu turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN Perak.

Faizal menyatakan sebab yang sama, iaitu pelantikannya dibuat oleh Muhyiddin Yassin selaku pengerusi gabungan tersebut, yang meletakkan jawatannya hari ini.
“Mengambil maklum keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN serta menghormati bahawa kuasa pelantikan adalah prerogatif pengerusi, dengan ini saya memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai pengerusi PN Perak, berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan.
