Pemuda PAS Selangor mendesak kepimpinan PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, dengan menyifatkan kerjasama sedia ada tidak membawa manfaat kepada perjuangan parti itu.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar berkata, gabungan politik Melayu perlu segera dibentuk semula dalam satu kerjasama yang lebih kukuh dan stabil bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurut Sukri, landskap politik semasa menuntut penyatuan baru melibatkan parti-parti Melayu termasuk Umno, tanpa menolak kemungkinan penjenamaan semula kerjasama terdahulu.
“Kita sudah memasuki tahun baru dan gabungan politik Melayu mesti digabungkan dalam satu gabungan yang lebih kuat dan stabil.
“Sama ada Umno atau mana-mana pihak, kerjasama perlu dibentuk untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam sidang media khas Pemuda PAS Selangor di Klang, hari ini.
Sukri menyatakan rasa kecewa terhadap PN, khususnya hubungan dengan Bersatu yang menurutnya tidak memiliki hala tuju jelas akibat pengkhianatan yang berlaku.
“Pemuda PAS Selangor tegas meminta supaya PAS Pusat memutuskan hubungan dengan Bersatu dan bergerak ke hadapan dengan membina gabungan yang lebih besar,” katanya lagi.

Pergeseran antara Bersatu dan PAS berhubung isu di Perlis serta kemarahan sejumlah pemimpin Umno terhadap DAP, membangkitkan semula gesaan kerjasama antara Umno dan PAS seperti menerusi Muafakat Nasional beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun pergeseran Bersatu dan PAS dilihat sedikit reda susulan langkah Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN.
Baca: Dengan satu mesej WhatsApp, Muhyiddin gagalkan cita-cita MN
Namun, bagi Sukri, tetap ada ruang untuk kerjasama semula dengan Umno, termasuk dalam bentuk dan nama yang berbeza daripada Muafakat Nasional.
“Sekiranya Umno bersedia untuk kita bina semula Muafakat Nasional 2.0, walaupun dengan nama lain, itu tidak menjadi masalah. Yang penting adalah memberi perhatian kepada kepentingan orang Melayu Islam dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Dia juga menyeru agar penyokong PAS yang marah dengan perkembangan politik semasa untuk terus menyokong parti itu, tanpa mengira gabungan yang disertainya.
“PAS tidak pernah berubah dari segi dasar, prinsip dan perjuangan. Apa yang berlaku sebelum ini, rakan-rakan politik sering mengkhianati dan mengambil kesempatan terhadap PAS.
“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, saya yakin usaha kita untuk memenangi pilihan raya akan datang akan menjadi lebih terbantut,” katanya.
Semalam, Dewan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor dilaporkan turut menggesa kepimpinan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu di semua peringkat.
Ketuanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar turut menggesa kepimpinan parti untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua lantikan melibatkan ahli Bersatu di semua negeri di bawah pentadbiran PN.
Malah, dia mencadangkan agar PAS bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi Bersatu di bawah logo PN-PAS sebelum ini.
