Tahun 2007 telah menyaksikan perbuatan jenayah terkutuk, skandal yang menggegarkan negara serta perhimpunan rakyat. Antara semuanya, yang manakah yang terpilih sebagai Newsmaker kali ini?

Ya, ya, ya... correct, correct, correct! Dan Anugerah Newsmaker tahun ini jatuh kepada Datuk VK Lingam - seorang peguam kanan yang dirakam sedang berbual melalui telefon pada tahun 2002, didakwa untuk mengatur pelantikan hakim-hakim di negara ini.

Walaupun video itu sudah lama dirakamkan, tetapi ia hanya terdedah September lalu. Pada tanggal 19 September, PKR mendedahkan segmen lapan minit daripada 14 rakaman keseluruhan klip video tersebut.

Pendedahan tersebut terus melonjakkan nama Lingam dan mendapat liputan seluas-luasnya di internet. Malah pihak akhbar juga turut "memberanikan diri" untuk menyiarkan berita-berita mengenainya, walaupun tanpa menyebut nama-nama dan imejnya juga dikelabukan.

Klip video tersebut, yang lebih dikenali sebagai "Pita Lingam", menunjukkan peguam tersebut sedang membincangkan pelantikan hakim-hakim, tanpa menyedari bahawa perbualan telefonnya itu sedang dirakam secara rahsia.

Sepanjang perbualan tersebut, yang penuh dengan sebutan Ya, ya, ya... correct, correct, correct! - yang kini muncul sebagai deringan telefon paling popular - Lingam mengaitkan beberapa individu termasuk ahli perniagaan terkenal, seorang menteri dan anggota-anggota kanan dalam badan kehakiman.

Dan siapa yang berbual dengannya? Jari menuding ke arah Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tun Malaya Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim - yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dan bersara pada 31 Oktober lalu. Ahmad Fairuz telah menafikan sebarang pembabitannya melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz. Lingam, bagaimanapun, sehingga ini belum mengeluarkan sebarang penafian.

Skandal tersebut terus menggegarkan negara, dengan ahli-ahli politik Barisan Nasional (BN), pertama awalnya, kelihatan bingung bagaimana hendak menangani isu tersebut.

Majlis Peguam Malaysia mengadakan "Perarakan Untuk Keadilan" pada bulan September serta menayangkan klip video tersebut pada skrin besar sewaktu berlangsungnya Persidangan Undang-undang Malaysia yang ke-14.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut menjalankan siasatan, tetapi badan itu sebaliknya didakwa "terpesong" dalam siasatannya itu kerana mengugut untuk mengambil tindakan terhadap para pemimpin PKR sekiranya mereka tidak mendedahkan pemberi sumber klip video tersebut.

Lebih banyak drama

Pada 25 September, kerajaan mengumumkan penubuhan panel bebas tiga anggota untuk menyiasat ketulenan klip video tersebut. Bagaimanapun, para pengkritik masih tidak berpuashati, termasuk Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Pada hari yang sama, Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang namanya turut disebut dalam klip video itu, menafikan sebarang pembabitannya dalam skandal tersebut.

Pada masa yang sama juga, kewibawaan pengerusi panel tersebut, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor - turut menjadi tajuk perbahasan yang hangat.

Pada 3 Oktober, panel tersebut mengadakan mesyuarat pertamanya. Kira-kira 30 minit selepas mesyuarat itu berjalan, kira-kira 20 orang yang menamakan diri mereka sebagai 'Jawatankuasa Pemandu Untuk Membebaskan Badan Kehakiman' tiba dengan membawa kain rentang serta plakad. Dalam sidang media kemudiannya, Haidar mengakui bahawa panel tersebut tidak mempunyai kuasa.

Dua minggu selepas pendedahan klip video tersebut, tidak diketahui di mana Lingam berada. Bagaimanapun, pada 6 Oktober, satu laporan media mendakwa bahawa Lingam dan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan telah disoalsiasat oleh BPR.

Pada 7 November, panel tersebut menyerahkan laporannya. Seminggu kemudian - dan dua bulan selepas pendedahan klip video tersebut - kerajaan mengumumkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal tersebut.

Adik lwn abang

Pada 18 November, V Thirunama - adik lelaki Lingam - telah membuat dakwaan mengenai "pembabitan" Lingam dalam perbuatan rasuah kepada hakim-hakim.

Pada hari berikutnya, Lingam muncul dan menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dalam siasatan suruhanjaya diraja tersebut, tetapi tetap enggan mengulas lanjut mengenai skandal tersebut.

Lingam juga mendakwa adiknya itu mengalami masalah mental, tetapi Thirunama menafikannya.

Kemudian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan rakaman penuh klip video perbualan Lingam itu, yang mengandungi pendedahkan yang semakin mengejutkan.

Rakyat kini sedang menunggu keputusan siasatan suruhanjaya diraja itu, termasuk kemungkinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut dipanggil memberi keterangan kepada suruhanjaya tersebut.