mk-logo
Berita
Mindef tak lindungi rasuah tapi tolak tuduhan tanpa bukti

Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya memandang serius setiap aduan berkaitan rasuah dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan mengikut saluran serta lunas undang-undang.

"Semestinya kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa khususnya dalam Mindef.

"Setiap aduan akan diambil serius namun tuduhan tanpa bukti hanya akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik ATM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Majlis Ramah Mesra Komuniti Kampung Makan di sini hari ini.

Justeru, kata Khaled, tindakan tegas wajar diambil bagi membersihkan nama baik ATM dan mengelakkan dakwaan tidak berasas dijadikan modal untuk meraih populariti.

Sebelum ini, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa seorang pegawai kanan ATM disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram dan susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Mengulas perkembangan terkini, Khaled berkata pegawai kanan berkenaan telah diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Pegawai tersebut diminta bercuti dan tidak mempunyai sebarang peranan atau kuasa...siasatan adalah urusan SPRM dan setakat ini, kementerian belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenainya,” katanya.

Ditanya mengenai keperluan pegawai ATM membuat pengisytiharan harta, Khaled berkata Mindef sentiasa mendapatkan maklumat dan pandangan agensi berkaitan sebelum sebarang pelantikan dibuat.

“Kita sentiasa merujuk agensi dan jabatan berkaitan termasuk SPRM bagi memastikan setiap pelantikan dibuat dengan teliti serta berintegriti,” katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS